Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Sabtu, Ogos 21, 2010

CAP tak setuju vaksin remaja perempuan

2010/08/21

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) tetap tidak bersetuju dengan cadangan dan keputusan Kementerian Kesihatan untuk memvaksin semua perempuan berusia 13 tahun di negara ini daripada virus Human papillomavirus (HPV), virus yang disebarkan melalui aktiviti seksual berdasarkan ia tidak perlu, tidak saintifik dan tidak selamat.

Sebanyak RM150 juta akan dibelanjakan setiap tahun oleh kerajaan bermula tahun ini untuk vaksinasi HPV terhadap 300,000 orang perempuan di negara ini sebagai perlindungan untuk dua daripada 40 jenis kanser servik berbeza disebabkan HPV.

HPV dijangkiti melalui hubungan seksual. Sebagai ganti inokulasi bagi remaja kita terhadap penyakit jangkitan seksual (STD), kerajaan sebagai ganti perlu memberikan tumpuan ke atas pencegahan melalui pendidikan dan agama serta nilai moral terhadap menahan diri daripada melakukan aktiviti seksual.

Sebagai penerima vaksin untuk menentang STD, remaja perempuan yang tidak mendapat maklumat lengkap boleh mempercayai jaminan keselamatan yang salah bahawa vaksin HPV akan melindungi mereka terhadap penyakit jangkitan seksual lain.

Risiko kanser servik itu sendiri telah dibesar-besarkan. Sudah menjadi fakta yang diketahui umum bahawa 90 peratus daripada semua jangkitan HPV akan disingkirkan oleh sistem imun dalam tempoh dua tahun. Ini menjadikan vaksin itu sendiri tidak relevan dan tidak diperlukan.

Rakyat akan lebih mendapat manfaat daripada peruntukan RM150 juta itu untuk digunakan bagi mendidik mereka terhadap aktiviti seksual awal sebagai pencegahan terhadap jangkitan HPV. Dengan peruntukan ini, kempen ujian HPV dan Pap Smears sebagai prosedur pengesanan awal terbukti boleh dipertingkatkan sebagai ganti penyelesaian mudah dengan cara menggunakan vaksin.

Oleh kerana vaksin ini hanya meliputi beberapa jenis HPV berisiko tinggi, pakar masih menyarankan pemeriksaan Pap Smears secara tetap, malah selepas vaksinasi. Ini menunjukkan pemeriksaan itu kekal relevan dan tidak dapat dinafikan ia ka edah pencegahan yang lebih baik berbanding vaksinasi.

Rakyat juga perlu diberitahu semua aspek negatif vaksin itu termasuk dokumentasi tindak balas kesan sampingan yang serius, malah membawa kematian seperti dilaporkan oleh The Journal of the American Medical Association (JAMA) dan Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS).

SM MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan
Pengguna Pulau Pinang.

Sumber : Berita Harian Online 21/8/2010

Kementerian Pelajaran diminta selaras cuti sekolah sempena Aidilfitri

2010/08/21

SAYA memohon kepada Kementerian Pelajaran agar dapat mengeluarkan tarikh cuti yang selaras bagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Saya mempunyai seorang anak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), seorang anak di sekolah harian biasa, tetapi menetap di asrama dan seorang lagi bersekolah di sekolah rendah.

Setiap anak saya ini, mempunyai tarikh cuti yang berbeza. MRSM mengumumkan tarikh cuti daripada 7 hingga 19 September, sekolah harian biasa 4 hingga 13 September dan di sekolah rendah 4 hingga 12 September.

Saya dan suami menghadapi masalah untuk mengatur cuti dan juga jadual pulang ke kampung kerana permasalahan ini. Saya berasal dari Beseri, Perlis, manakala suami dari Johor Baharu.

Kami amat berharap agar Kementerian Pelajaran dapat menyemak kembali tarikh cuti berkenaan dan minta diselaraskan seluruh negara di semua sekolah termasuk MRSM bagi kemudahan ibu bapa dan juga kakitangan pelajaran sendiri.

Saya cadangkan agar cuti sekolah ini bermula pada 4 September ini kerana hampir semua sekolah di seluruh negara kecuali MRSM mula bercuti pada tarikh itu dan dilanjutkan sehingga 19 September kerana cuti umum Hari Malaysia 16 September yang jatuh pada Khamis.

Cuti ini bolehlah diganti pada Sabtu, seperti langkah proaktif yang diambil oleh beberapa sekolah yang menggantikannya lebih awal.
Sambutan Aidilfitri seharusnya tidak sekadar Hari Raya saja kerana pada masa inilah anak-anak dibawa pulang ke kampung untuk bertemu dan mengeratkan silaturahim dengan datuk, nenek serta keluarga yang jauh.

Ini adalah selaras dengan falsafah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya institusi keluarga diperkukuhkan.

HANYA INSAN,
Beseri, Perlis.

Sumber : Berita Harian Online 21/8/2010
Related Posts with Thumbnails