Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Sabtu, Ogos 21, 2010

CAP tak setuju vaksin remaja perempuan

2010/08/21

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) tetap tidak bersetuju dengan cadangan dan keputusan Kementerian Kesihatan untuk memvaksin semua perempuan berusia 13 tahun di negara ini daripada virus Human papillomavirus (HPV), virus yang disebarkan melalui aktiviti seksual berdasarkan ia tidak perlu, tidak saintifik dan tidak selamat.

Sebanyak RM150 juta akan dibelanjakan setiap tahun oleh kerajaan bermula tahun ini untuk vaksinasi HPV terhadap 300,000 orang perempuan di negara ini sebagai perlindungan untuk dua daripada 40 jenis kanser servik berbeza disebabkan HPV.

HPV dijangkiti melalui hubungan seksual. Sebagai ganti inokulasi bagi remaja kita terhadap penyakit jangkitan seksual (STD), kerajaan sebagai ganti perlu memberikan tumpuan ke atas pencegahan melalui pendidikan dan agama serta nilai moral terhadap menahan diri daripada melakukan aktiviti seksual.

Sebagai penerima vaksin untuk menentang STD, remaja perempuan yang tidak mendapat maklumat lengkap boleh mempercayai jaminan keselamatan yang salah bahawa vaksin HPV akan melindungi mereka terhadap penyakit jangkitan seksual lain.

Risiko kanser servik itu sendiri telah dibesar-besarkan. Sudah menjadi fakta yang diketahui umum bahawa 90 peratus daripada semua jangkitan HPV akan disingkirkan oleh sistem imun dalam tempoh dua tahun. Ini menjadikan vaksin itu sendiri tidak relevan dan tidak diperlukan.

Rakyat akan lebih mendapat manfaat daripada peruntukan RM150 juta itu untuk digunakan bagi mendidik mereka terhadap aktiviti seksual awal sebagai pencegahan terhadap jangkitan HPV. Dengan peruntukan ini, kempen ujian HPV dan Pap Smears sebagai prosedur pengesanan awal terbukti boleh dipertingkatkan sebagai ganti penyelesaian mudah dengan cara menggunakan vaksin.

Oleh kerana vaksin ini hanya meliputi beberapa jenis HPV berisiko tinggi, pakar masih menyarankan pemeriksaan Pap Smears secara tetap, malah selepas vaksinasi. Ini menunjukkan pemeriksaan itu kekal relevan dan tidak dapat dinafikan ia ka edah pencegahan yang lebih baik berbanding vaksinasi.

Rakyat juga perlu diberitahu semua aspek negatif vaksin itu termasuk dokumentasi tindak balas kesan sampingan yang serius, malah membawa kematian seperti dilaporkan oleh The Journal of the American Medical Association (JAMA) dan Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS).

SM MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan
Pengguna Pulau Pinang.

Sumber : Berita Harian Online 21/8/2010

Kementerian Pelajaran diminta selaras cuti sekolah sempena Aidilfitri

2010/08/21

SAYA memohon kepada Kementerian Pelajaran agar dapat mengeluarkan tarikh cuti yang selaras bagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Saya mempunyai seorang anak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), seorang anak di sekolah harian biasa, tetapi menetap di asrama dan seorang lagi bersekolah di sekolah rendah.

Setiap anak saya ini, mempunyai tarikh cuti yang berbeza. MRSM mengumumkan tarikh cuti daripada 7 hingga 19 September, sekolah harian biasa 4 hingga 13 September dan di sekolah rendah 4 hingga 12 September.

Saya dan suami menghadapi masalah untuk mengatur cuti dan juga jadual pulang ke kampung kerana permasalahan ini. Saya berasal dari Beseri, Perlis, manakala suami dari Johor Baharu.

Kami amat berharap agar Kementerian Pelajaran dapat menyemak kembali tarikh cuti berkenaan dan minta diselaraskan seluruh negara di semua sekolah termasuk MRSM bagi kemudahan ibu bapa dan juga kakitangan pelajaran sendiri.

Saya cadangkan agar cuti sekolah ini bermula pada 4 September ini kerana hampir semua sekolah di seluruh negara kecuali MRSM mula bercuti pada tarikh itu dan dilanjutkan sehingga 19 September kerana cuti umum Hari Malaysia 16 September yang jatuh pada Khamis.

Cuti ini bolehlah diganti pada Sabtu, seperti langkah proaktif yang diambil oleh beberapa sekolah yang menggantikannya lebih awal.
Sambutan Aidilfitri seharusnya tidak sekadar Hari Raya saja kerana pada masa inilah anak-anak dibawa pulang ke kampung untuk bertemu dan mengeratkan silaturahim dengan datuk, nenek serta keluarga yang jauh.

Ini adalah selaras dengan falsafah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya institusi keluarga diperkukuhkan.

HANYA INSAN,
Beseri, Perlis.

Sumber : Berita Harian Online 21/8/2010

Sabtu, Julai 17, 2010

Maya dicerai talak satu

Oleh Zubir Mohd Yunus dan Ahmad Johari Mohd Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/07/17

Maya Karin



KUALA LUMPUR: Belum pun sampai dua minggu pernikahan mereka disahkan, penyanyi dan pelakon, Maya Karin Roelcke bersama suaminya, Muhammad Ali Abdullah @ Steven David Shorthose, 40, kini sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Perceraian Maya dan Muhammad Ali, guru Matematik di Sekolah Antarabangsa Alice Smith di sini, disahkan oleh Hakim Mahkamah Syarie, petang semalam.

Sumber : Berita Harian Online 17/7/2010

Jumaat, Julai 16, 2010

Rolls Royce jadi gimik

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
shafawati.yup@kosmo.com.my





SERDANG - Polis merampas sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce bernilai RM2.85 juta yang tertera nama 'D.Y.M.M Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Al-Marhum Y.A.M Raja Tuah Shah' yang dipercayai digunakan untuk menarik rakyat asing melabur dalam satu perniagaan hartanah global yang dilancarkan di Bandar Puteri, Puchong dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kereta itu dirampas pukul 1.30 petang ketika ia diletakkan di tempat letak kereta di sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat tempat berlangsungnya majlis perasmian bangunan syarikat tersebut.

"Semasa diperiksa kereta itu tiada cukai jalan, menggunakan nombor pendaftaran palsu. Siasatan mendapati kenderaan itu disewa dari sebuah kedai kereta terpakai," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Difahamkan, kereta itu disewa dengan harga lebih RM600 sehari termasuk bayaran perkhidmatan seorang pemandu.

Menurut beliau, kereta itu dipercayai digunakan oleh syarikat tersebut sebagai gimik bahawa syarikat itu benar-benar berjaya dalam bisnes dan disokong oleh kerabat diraja Kesultanan Melaka.

Nama Raja Noor Jan mula menjadi sebutan pada tahun 2006 apabila dia muncul menuntut takhta Kesultanan Melaka. Raja Noor Jan mendakwa dia adalah pewaris sah Raja Alang Abdul Rahman yang merupakan anakanda Sultan Abdullah Mohammad 1, Sultan Perak ke-22.

Mengulas lanjut, Abd. Razak berkata, selain kereta itu polis turut menahan tiga lelaki termasuk pemandu kereta itu.

"Pemandu kereta itu merupakan pekerja kedai kereta terpakai tempat kereta itu disewa dan dia yang berusia 35 tahun didapati positif mengambil dadah syabu," kata beliau.

Dua lagi lelaki yang ditahan dipercayai menjadi penganjur majlis perasmian bangunan itu.

Sumber : Kosmo Online 16/7/2010

Kuman air kencing tikus: Kesihatan Pahang cari 9 individu

15/07/2010 9:50pm

KUANTAN 15 Julai - Jabatan Kesihatan Pahang sedang mengesan sembilan lagi individu yang berkemungkinan dijangkiti kuman `leptospirosis' (air kencing tikus) dan `meliodosis' (kuman dari air dan tanah) selepas mereka berada di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran kerana menyaksikan kerja-kerja menyelamat mangsa lemas baru-baru ini.

Sehingga kini, kesemua mereka gagal dikesan kerana Jabatan Kesihatan tidak mempunyai maklumat lengkap termasuk tempat tinggal mereka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, meskipun kesemua mereka tidak dikategorikan sebagai berbahaya tetapi berisiko kerana pernah berada di pusat perkelahan itu semasa operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas pada 26 hingga 30 Jun lalu. - Utusan

Sumber : Utusan Malaysia Online

Kerajaan selaraskan harga subsidi untuk masa depan

15/07/2010 10:02pm

KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula, akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa esok.

Subsidi bagi RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak 5 sen seliter, manakala LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ini bermakna petrol RON 95 dijual pada RM1.85 seliter, manakala LPG berharga RM1.85 sekilogram.

"RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.”

Najib berkata, penggunaan RON 97 hanya membabitkan 13 peratus daripada penggunaan bahan api di Malaysia.

"Bagi gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perubahan minimum itu akan membantu Malaysia mencapai kedudukan tanggungjawab fiskal dan meletakkan negara pada kedudukan untuk mengurangkan defisit.

“Bagi memenuhi objektif ini, kerajaan membuat pelarasan terhadap subsidi.

“Walaupun telah membuat perubahan ini, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010. Harga bahan api dan gula di Malaysia masih antara yang terendah di rantau ini,” katanya.

Berdasarkan anggaran, rasionalisasi subsidi ini membolehkan Malaysia mengurangkan perbelanjaan melebihi RM750 juta pada 2010. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia Online

Ahad, April 18, 2010

Aleeza bawa diri ke Jakarta




BERITA runtuhnya mahligai perkahwinan model merangkap artis popular, Aleeza Kasim bukan lagi rahsia. Diva tumpang bersedih bila ada pengumuman segmen lara hati berhubung teman-teman artis, maklumlah, siapa yang mengharapkan hujan di tengah hari kan?

Dalam diam-diam, Aleeza Kassim rupa-rupanya sudah bercerai talak satu sejak Februari lalu. Menurut maklumat yang disiarkan, perceraian mereka berlaku di Hyatt Saujana, Subang Jaya. Entah apa masalah Aleeza dengan bekas suami, Mohd Fauzi Che Ros, tiada siapa yang tahu. Apa yang penting, perceraian mereka bukan berpunca daripada peranan orang ketiga, kata Aleeza.

Kalau tak salah perhitungan Diva yang lemah matematik ni, perkahwinan mereka hanya dapat bertahan tiga tahun dan tujuh bulan sahaja. Diva sebenarnya masih ingat lagi, betapa hebat dan cerianya majlis persandingan Aleeza di Palace Of The Golden Horses sekitar Julai 2006 lalu. Meriah!

Kes-kes cerai ni buat Diva tak senang duduk, tak puas hati selagi tak dengar dengan telinga sendiri. Bukan kepoh tapi prihatin. Diva cuba juga mendekati Aleeza manalah tahu, kalau rezeki Diva, Aleeza sudi berkongsi cerita. Tapi menurut teman Diva, Aleeza sekarang sedang berada di Jakarta. Ah! Tak dapatlah nak korek rahsia wanita. Dia terbang ke sana petang Khamis lalu dan dijangka pulang esok.

Diva kurang periksa pula, sama ada Aleeza membawa hati patah atau mencari kekuatan jiwa. Apa-apa pun, tunggulah 21 April nanti, sebab, Diva diberi tahu menjelang tarikh itu, kes perceraian mereka akan dibacakan di mahkamah.

Sumber : Kosmo Online 18/4/2010

Scholes hidupkan peluang United




MANCHESTER - Paul Scholes muncul wira apabila membantu Manchester United mencipta kemenangan 1-0 ke atas Manchester City pada aksi Liga Perdana England malam tadi.

Scholes menanduk masuk gol kemenangan United pada masa kecederaan babak kedua selepas menyempurnakan hantaran lintang pemain pertahanan, Patrice Evra.

Kemenangan tersebut telah menghidupkan kembali peluang United dalam usaha memburu kejuaraan liga musim ini biarpun jika pendahulu, Chelsea mencatatkan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur.

Pengurus United, Alex Ferguson berkata, jika skuad kendaliannya tewas pada aksi di Stadium City of Manchester, ia sekali gus memadam terus impian The Red Devils bagi merangkul trofi liga buat empat musim berturut-turut.

"Jika kami tewas perlawanan sebentar tadi (semalam), ia akan menutup pintu buat kami untuk bergelar juara liga.

"Kami sememangnya berhak untuk memenangi perlawanan ini tetapi saya tidak menjangkakan yang kami akan memperoleh gol ketika perlawanan hampir tamat.

"Percaturan saya yang mahukan Scholes lebih banyak membantu jentera serangan ternyata berbaloi dan saya berasakan dia adalah pemain terbaik dalam perlawanan ini," jelas Ferguson.

United dijadualkan berdepan dengan Tottenham Hotspur di Old Trafford Sabtu depan.

Sementara itu, kekalahan yang dialami City menyaksikan mereka terlepas peluang terbaik bagi menjarakkan kedudukan dengan Spurs yang turut bersaing mengakhiri saingan di tangga keempat, sekali gus menempah slot ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

"Sudah pasti kami berasa sangat kecewa dengan kekalahan ini. Kami tidak patut tewas pada perlawanan ini.

"Kami akan menghadapi satu perlawanan penting (menentang Spurs di sini (Eastlands) pada 5 Mei depan dan kami perlu memenangi kesemua baki empat perlawanan," kata pengurus City, Roberto Mancini. - AFP

Sumber : Kosmo Online 18/4/2010

Sabtu, April 17, 2010

Promosi terbaik

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my
2010/04/17

LARIS...Exora terima tempahan lebih 35,000 unit.

PROTON Exora, model kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama Malaysia keluaran Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) yang melepasi sasaran jualan apabila menerima tempahan lebih 35,000 unit sejak dilancarkan, tersenarai untuk anugerah Keberkesanan Pengiklanan dan Pemasaran (AME) anjuran New York Festivals, Amerika Syarikat.

Selain itu, kempen pemasaran Exora juga memenangi Gold Dragon sempena Anugerah Promosi Pemasaran Terbaik di Asia (PMA) bagi 2009 dan anugerah Perak pada Malaysian Effectiveness Awards.

Timbalan Pengerusi McCann Worldgroup, Huang Ean Hwa, berkata Anugerah AME adalah pengiktirafan untuk industri pengiklanan.

“Menerusi anugerah itu, penilaian akan dijalankan berdasarkan hasil kerja strategik, kesan dan yang dapat menghasilkan keputusan ketara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, baru-baru ini.

Keberkesanan iklan pelancaran Proton Exora oleh agensi pengiklanan McCann Erickson Malaysia turut memberi instrumen hebat penciptaan pasaran terbaik untuk produk berkenaan, lebih-lebih lagi ketika pasaran automotif sedang pulih daripada kesan krisis ekonomi global.

Malah, pertama kali dalam tempoh 16 tahun, Anugerah AME dinilai juri tempatan yang mempunyai latar belakang kebudayaan dan ekonomi di daerah masing-masing serta pengetahuan mendalam bagi setiap pasaran.

Bagaimanapun, kempen Proton Exora diperluaskan melalui media cetak, televisyen, radio, pengiklanan dalam talian, acara, testimoni pelanggan dan siaran langsung di seluruh negara.

Sementara itu, pemenang bagi Anugerah AME akan diumumkan pada 21 April ini dan tiga syarikat Malaysia turut tersenarai dalam kategori Pemasaran Bersepadu iaitu Canon, Pantene dan Polident.

Sumber : myMetro 17/4/2010

Saat menilai cinta



SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.

Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.

Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.

Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:

1. Lupakan masa lalu

Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.

Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.

2. Temui ramai orang

Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.

Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.

3. Ubah penampilan

Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.

Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.

4. Jangan terburu-buru

Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.

5. Jangan terlalu memilih

Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.

6. Buat keputusan

Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

Sumber : Kosmo Online 17/4/2010

Achik Spin maut kemalangan ngeri

17/04/2010 8:42pm

SEREMBAN – Artis terkenal yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini petang ini.

Allahyarham, yang berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabas dan terbakar, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada masa ini, polis dan anggota bomba masih lagi berada di lokasi nahas dan difahamkan mayat Allahyarham akan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini malam ini.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Polis (ASP) Abd. Halil Abd. Hamzah mengesahkan kejadian tersebut. – Utusan

Sumber : Kosmo Online 17/4/2010

Rabu, April 14, 2010

Tiada warga Israel

Oleh Ridzuan Yop, Mohd Anwar Patho Rohman dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2010/04/14
Wira Abu Seman Yusop (kiri) dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam diberitahu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tidak ada warga Israel terbabit dalam pembangunan projek Sistem Laporan Polis (PRS) seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata semua pekerja dalam projek itu rakyat tempatan, kecuali seorang warga India.

“Semua pekerja yang bertanggungjawab melaksanakan projek PRS itu melalui proses tapisan keselamatan PDRM,” katanya menjawab soalan Khairy Jamaludin (BN-Rembau) yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan Anwar.

Abu Seman berkata, isu yang dibangkitkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengelirukan dan tidak benar.

Beliau juga menjelaskan PRS adalah projek berkaitan sistem menerima laporan polis melalui rangkaian komputer yang dibekalkan di balai polis di seluruh Semenanjung, manakala sistem bagi Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dalam fasa keempat yang dikemukakan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Katanya, dakwaan bahawa projek RMPnet, Apco P25 dan PRS juga projek sama adalah tidak benar kerana RMPnet adalah projek sistem komunikasi radio dua hala yang dibangunkan oleh syarikat Motorola Technology Sdn Bhd (MTSB) dengan rakannya Masterplan Consulting Sdn Bhd (MPC).
"Begitu juga dakwaan ketua pembangkang bahawa Apco P25 ada hubung kait dengan Apco Worldwide adalah tidak benar kerana Apco P25 adalah piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh `Association of Public Safety Communication Official' atau ringkasnya Apco International yang digunakan dalam projek ini.

"Oleh itu, piawaian Apco 25 ini tiada hubung kait sama sekali dengan Apco Worldwide, sebuah syarikat perunding perhubungan awam," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan berlaku peningkatan kos projek RMPnet kepada RM999 juta, sebaliknya kos asalnya kekal sebanyak RM980 juta.

Abu Seman berkata, pembangunan sistem PRS dilaksanakan melalui empat fasa mengikut zon dan setakat ini projek itu sudah dilaksanakan sehingga fasa ketiga.

Fasa pertama dan kedua projek itu dilaksanakan oleh Sapura System Sdn Bhd (SSSB), manakala fasa ketiga dibangunkan oleh syarikat MPC yang melantik sub kontraktor Asiasoft (M) Sdn Bhd bagi melaksanakan sebahagian aplikasi sistem PRS yang 70 peratus sahamnya dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Sumber : Berita Harian Online 14/4/2010

Selasa, April 13, 2010

Hati-hati guna laman web sosial

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
2010/04/12

KEHADIRAN laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan blog membawa pengaruh meluas di seluruh dunia. Tidak terkecuali, dalam konteks bidang hiburan membabitkan artis, peminat termasuk wartawan turut menggunakan medium ini sebagai alat komunikasi.

Namun, di sebalik kecanggihan teknologi ini ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab apabila menggunakannya dengan niat menjatuhkan maruah orang lain mahupun melemparkan ugutan.

Membincangkan perkara ini dengan mendalam, program Fenomena Seni yang bersiaran kelmarin menerusi TV1 jam 2 petang mengundang empat panel iaitu personaliti TV, Azwan Ali, pelakon Zed Zaidi, Zarina An-Julie dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil tampil berkongsi pandangan.

Tajuk perbincangan iaitu Bahana Alam Siber yang dikendalikan Rosyam Nor sebagai pengacara, bukan saja diperdebat menerusi pandangan peribadi malah, mengundang sikap artis yang mahu menyalahkan wartawan kerana dikatakan menyampaikan laporan yang salah.

Roslen berkata, laman web sosial termasuk blog membawa perkembangan positif dari aspek menggalak lebih ramai individu tampil menjadi penulis. Pun begitu, ia masih tidak menggugat penjualan akhbar yang mempunyai pembaca setia.

"Bukan wartawan kini boleh menulis di laman sosial dan blog. Apa yang ingin ditekankan, kita harus bertanggungjawab terhadap penulisan sendiri.

"Pada saya, peratusan artis yang sengaja menggunakan medium ini untuk tujuan publisiti adalah sedikit. Artis juga tidak seharusnya menyalahkan wartawan apabila cerita negatif mereka didedahkan.

"Artis perlu ingat, laman sosial mempunyai rantaian rakan yang membolehkan gambar peribadi mereka dilihat. Sebelum apa-apa berlaku, kita perlu tapis maklumat dan gambar yang ingin dimuat turun," katanya.

Roslen menegaskan wartawan sentiasa berhasrat membantu perkembangan industri hiburan tanah air agar terus maju menerusi berita yang dilaporkan. Namun, tidak mustahil berlaku salah faham antara artis dengan wartawan.

"Artis perlu tampil memberi penjelasan jika berita yang dilaporkan tidak benar. Sebaliknya, jika artis meluahkan kenyataan di laman web sosial hingga berkata mahu ugut bunuh, itu sudah keterlaluan.

"Apa yang berlaku ketika ini adalah fenomena baru dan kita harus belajar daripada pengalaman lalu dan kita perlu berhati-hati dalam menulis dan bercakap. Hakikatnya, wartawan akan terus melaporkan berita biarpun ia pahit untuk disimpan," katanya.

Sementara itu, Azwan yang pernah diboikot media gara-gara laman blog peribadinya yang mengundang kontroversi mengakui apa yang ditulis sebelum ini banyak memberi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan.

"Pada awal penulisan saya dulu, memang saya akui apa yang dinyatakan melampau dan lancang. Ketika itu, saya beranggapan tidak perlu takut pada sesiapa dan mahu menulis secara jujur.

"Namun, melihat perkembangan laman web sosial seperti Facebook dan Twitter, sebenarnya memberi tamparan kepada pengamal media yang konservatif. Jika sebelum ini artis kurang diberi peluang untuk menjawab kenyataan salah sebaliknya menerusi cara ini, artis tampil memberi penjelasan.

"Berdasarkan pengalaman lalu, ia memang memberi kesan kepada diri saya hingga rezeki terjejas. Kontroversi yang melanda adalah pengajaran terhebat yang saya terima.

"Apapun, laman web sosial masih mempunyai banyak kebaikan dan ia juga menjadi jambatan mendekatkan artis dengan peminat," katanya.

Zed Zaidi yang kini bergiat aktif dengan Persatuan Seniman Malaysia yang menjadi orang tengah majlis memohon maaf artis baru, Ammar kerana lancang membidas wartawan di laman sosial, berkata dia tidak kecam orang lain yang menyalah guna medium ini hingga sanggup mencipta laman web sosial artis. Baginya, usaha menghalang perkara negatif membabitkan artis boleh dilakukan menerusi menguat kuasa akta dan paling penting, artis tampil membuat laporan polis jika berasa terancam.

"Artis sepatutnya mendaftar dengan persatuan seperti Seniman untuk membantu mereka apabila berdepan masalah. Saya percaya persatuan sendiri dapat memberi kesedaran kepada artis agar bijak menggunakan laman web sosial seperti ini," katanya.

Pelakon baru yang sering dikaitkan dengan kontroversi gambar seksi, Zarina menyatakan gambar peribadi yang diletakkan dalam laman web sosialnya hanya bertujuan untuk dikongsi bersama anggota keluarga dan rakan. Namun, pelakon drama siri Anak Pontianak ini akui ada rakan yang menyebarkan gambar itu yang diambil menerusi telefon bimbit.

"Saya sudah mempunyai Facebook dan Friendster sebelum jadi artis. Namun, apabila jadi artis saya membuang gambar yang tidak sepatutnya disimpan.

"Selepas kontroversi, ada pengarah yang serba salah ingin ambil saya berlakon, tetapi apabila mereka menyemak perkara sebenar, saya masih diterima berlakon. Seperti kes saya yang dikatakan ditahan kerana mempunyai dadah hingga masuk lokap dan dijamin RM5,000 adalah tidak benar.

"Ketika itu, saya cuma disiasat penyiasat dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan selepas itu saya balik ke rumah. Bagaimanapun, menerusi kontroversi yang saya lalui ia memberikan pengajaran agar lebih berhati-hati," katanya.

Sumber : myMetro 13/4/2010

Khamis, April 08, 2010

Benjey kemukakan permohonan habeas corpus

08/04/2010 1:38pm

KUALA LUMPUR 8 April - Peguam Benjey, Amer Hamzah Arshad hari ini memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mendapatkan perintah supaya anak guamnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim dibebaskan serta merta.

Benjey yang kini ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selaku pemohon memohon perisytiharan bahawa penangkapan dan penahanannya adalah tidak sah, salah dan bersifat berniat jahat.

Amer Hamzah bersama ibu Benjey, seniwati Azean Irdawaty hadir di Pejabat Pendaftaran Jenayah mahkamah tersebut pada pukul 12.15 tengah hari.

Menurut Amer, beliau telah memfailkan sijil perakuan segera agar notis usul permohonan tersebut dapat didengar secepat mungkin.

Pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku responden. - Utusan

Sumber : Utusan Malaysia Online 8/4/2010

Anak saman ibu, dakwa fitnah dalam facebook

08/04/2010 3:35am

ARKADELPHIA, Arkansas 7 April - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun menyaman ibunya atas dakwaan memfitnahnya di laman Facebook.

Wanita itu, Denise New dituduh atas dakwaan mengganggu dan anaknya yang mana nama tidak didedahkan meminta supaya ibunya dihalang daripada menghubunginya.

Pihak berkuasa memberitahu KATC-TV remaja itu menetap bersama neneknya yang mendapat hak penjagaan.

New berkata, dia percaya bahawa dia mempunyai hak sah untuk mengawasi aktiviti dalam talian anaknya dan merancang menentang tuduhan itu.

Pendakwa, Todd Turner bagaimanapun enggan mengulas atas alasan usia remaja berkenaan. - AP

Sumber : Utusan Malaysia Online 8/4/2010

Rabu, April 07, 2010

Nostalgia kelahiran Najib Tun Razak

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my



ADA apa dengan Daerah Lipis? Namun kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tatkala beliau menjejakkan kaki di halaman sebuah rumah di atas sebuah bukit di Kuala Lipis, wajahnya kelihatan sayu dan hampir menitiskan air mata.

Kepulangan Najib selama kira-kira 30 minit ke rumah banglo dua tingkat di Bukit Bius pada 20 Mac lalu menggamit kenangan silam apabila mengenangkan beliau dibesarkan di tempat bersejarah itu oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan ibunya, Tun Rahah Mohd. Noah dengan penuh kasih sayang.

Najib diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Rahah tiba di rumah berkenaan sekitar pukul 1.25 petang. Mereka meluangkan masa menatap gambar-gambar di dinding yang menggamit nostalgia semasa Najib dibesarkan di situ kira-kira 57 tahun lalu.

Najib kemudiannya diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Lipis, Datuk Abu Jamal Nordin mengenai rumah berkenaan yang akan dijadikan Muzium Tun Razak.

Abu Jamal menjelaskan, perbelanjaan menaik taraf rumah berkenaan menelan belanja RM1 juta. Kerja-kerja konservasi bermula sejak 13 November 2007 dan siap pada 12 Mei 2008 di bawah program Tapak Warisan Negara. Kini rumah tersebut menjadi salah satu produk pelancongan di Lipis.

Kata Abu Jamal, Majlis Daerah Lipis (MDL) memerlukan peruntukan sebanyak RM480,000 lagi untuk menjalankan kajian, pengumpulan artifak kostum dan kerja-kerja membina galeri bagi muzium berkenaan.

Dalam lawatan itu, Rahah juga sempat menceritakan kenangan beliau dan suaminya yang juga Perdana Menteri Kedua mendiami rumah tersebut di antara tahun 1950 sehingga tahun 1953.

Rumah banglo kayu yang pernah menjadi tempat Najib bertatih kini adalah lokasi bersejarah kepada 91,000 penduduk Lipis. Ia menjadi saksi kepada sejarah kelahiran wira negara.

Halaman rumah itu juga menyaksikan zaman kanak-kanak yang dilalui oleh Najib bersama bapanya. Bahkan rumah tersebut memahat satu kenangan yang cukup berharga dalam jiwa Perdana Menteri.

Hari ini, rumah tersebut menjadi salah satu daripada bangunan bersejarah dalam senarai Tapak Warisan Negara untuk tatapan rakyat Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku merangkap Ketua UMNO Lipis , Datuk Abdul Rahman Mohamed berkata, keluarga Tun Razak pernah tinggal di rumah tersebut ketika bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1950-an.

Menurut sejarah, selepas Tun Razak berkahwin dengan Rahah keluarga pemimpin itu tinggal di rumah tersebut sehingga Najib dan adiknya Ahmad Johari dilahirkan.

"Nilai sejarah di rumah itu sangat penting untuk tatapan generasi akan datang kerana ia menyaksikan bekas Perdana Menteri Kedua tinggal di situ dan kelahiran Perdana Menteri Keenam di rumah yang sama.

"Bagi memelihara nilai sejarahnya, Kerajaan Negeri Pahang menjaga dan membaik pulih rumah itu pada setahun lalu untuk dijadikan sebagai salah satu daripada 14 Bangunan Warisan Negara di Lipis," jelasnya ketika dihubungi.

Mengimbas sejarah Lipis yang menyimpan pelbagai khazanah negara dan pernah terkenal sebagai kawasan lombong emas, daerah itu membariskan ramai pemimpin ulung masyarakat Melayu termasuk episod perjuangan Mat Kilau dan Datuk Bahaman menentang tentera Inggeris pada 1892.

Malah sebuah Sekolah Agama Madrasatul Firdaus di Kuala Lipis yang pertama dan tertua di Pahang dibina sekitar tahun 1800-an juga telah melahirkan ramai tokoh serta pemimpin agama tempatan.

Kesinambungan kepimpinan yang bertapak di Lipis diteruskan dengan legasi Tun Razak yang dianugerahkan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar Ke-10 oleh Sultan Pahang pada 1 November 1950.

Tun Razak kemudian bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang berpusat di Lipis sebelum menjadi Perdana Menteri Kedua. Malah, Lipis juga menyaksikan kelahiran legasi daripada keluarga Tun Razak iaitu Najib yang menerajui kerajaan pada hari ini.

Bandar diraja

Bandar yang mempertemukan di antara Sungai Jelai dan Sungai Lipis yang menghimpunkan 11 mukim itu sebenarnya menyimpan banyak khazanah berharga dalam mewarnai sejarah negara termasuk pernah menjadi ibu negeri pertama bagi negeri Pahang di antara tahun 1898 hingga tahun 1955 sebelum berpindah ke Kuantan.

Kuala Lipis juga pernah menjadi bandar diraja Kesultanan Pahang sebelum berpindah ke Pekan selain menempatkan ibu pejabat Residen British, Sir Hugh Clifford ketika era penjajahan British di Tanah Melayu.

Kesan peninggalan penjajahan British juga masih boleh dilihat di Kuala Lipis terutama lapan bangunan kolonial yang kekal terpelihara untuk tatapan generasi merdeka.

Antara bangunan bersejarah lain yang terdapat di Kuala Lipis ialah kediaman Residen British, Sir Hugh Clifford di Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos Kolonial (1910), Asrama Jururawat Kolonial (1926) dan Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis era kolonial (1919) serta batu bertanda '0' yang menjadi titik pusat menyukat perbatuan negara.

Bangunan-bangunan bersejarah yang dikomersial sebagai destinasi pelancongan memberi impak positif terhadap penduduk tempatan serta memberi peluang kepada mereka untuk terlibat sama dalam agenda pembangunan di daerah Lipis.

Pembangunan Lipis

Faedah itu juga memberi kesan kepada setiap kelompok masyarakat termasuk penduduk Orang Asli di sekitar Lipis yang terlibat secara langsung dalam kegiatan pelancongan.

Tok Batin Pos Betau, Ahmad Selalu, 47, berkata, kesan sejarah dan pembangunan moden yang rancak di bandar Lipis membolehkan masyarakat Orang Asli terlibat sama dalam menjana ekonomi keluarga masing-masing.

"Kami juga mengambil peluang menjual hasil kraftangan dan hasil hutan kepada pelancong yang hadir ke Lipis. Ia juga secara langsung membantu kami meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya.

Dalam pada itu peneroka Felda Sungai Koyan 1, Kholid Hussain, 63, pula berkata, pembangunan di daerah itu berkembang selaras dengan pembangunan negara demi keselesaan penduduk.

"Jika dua dekad lalu, hidup peneroka boleh dikatakan hanya cukup-cukup makan, tetapi sekarang semua sudah berubah hasil daripada pembangunan negara.

"Ia juga disebabkan langkah kerajaan membangunkan Lipis melalui pelbagai peluang ekonomi. Kini, peneroka di Lipis sudah mampu hidup senang," kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Perkumpulan Wanita (GPW) Sungai Koyan, Sapiah Mohamad, 60, berkata, pelbagai program galakan yang diberikan kerajaan di sekitar Lipis juga mampu bertindak sebagai input kepada golongan wanita untuk berkecimpung dalam kegiatan perniagaan.

"Ini termasuklah menyediakan tempat berniaga yang sempurna bagi kemudahan peniaga yang menjadikan daerah Lipis sebagai lubuk rezeki.

"Kemudahan-kemudahan yang disediakan itu menaikkan lagi imej daerah ini sebagai kawasan bersejarah yang terpelihara dan berkembang seiring dengan pembangunan," katanya.

Ujar beliau, Lipis kini berubah maju dengan memperlihatkan banyak kemudahan disediakan bagi keselesaan penduduk tempatan dan juga pengunjung luar.

"Kalau dibandingkan dengan lima dekad lalu, penduduk di Lipis menjadikan sungai sebagai laluan utama untuk ke daerah lain. Tapi sekarang, Lipis sudah berubah dengan kemudahan jalan raya dan sebagainya.

"Kehidupan penduduk di Lipis juga sudah semakin senang kalau dibanding dengan dahulu. Lipis bukan sahaja berkembang maju, tapi nilai sejarahnya yang kekal terpelihara," ujarnya.

Sumber : Kosmo Online 7/4/2010

Selasa, April 06, 2010

Pelumba basikal negara, Norfarahdini maut ketika berlatih

2010/04/06

IPOH: Pelumba basikal wanita kebangsaan, Norfarahdini Zakaria, meninggal dunia selepas terjatuh semasa menjalani latihan bersama skuad lumba basikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lambor Kiri dekat Seri Iskandar, 60 kilometer dari sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman, berkata Norfarahdini meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dua jam selepas kejadian pada 10.20 pagi tadi.

Norfarahdini, 27, berpangkat Laskar Kelas Satu dan belum berkahwin, adalah anggota pasukan lumba basikal wanita kebangsaan yang menyertai Sukan Sea di Laos tahun lalu bersama Masziyaton Mohd Radzi, Nurul Ahmar Badeuzzaman dan Kimberley Yap.

Jurulatihnya, Mohd Salmiza Salleh berkata Norfarahdini bersama lima pelumba lain, semuanya lelaki, berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut pada 7.30 pagi tadi untuk menjalani latihan menjelang kejohanan lumba basikal Jelajah Malaysia 2010 yang dijadual bermula 27 April ini.

"Nahas berlaku apabila seorang pelumba yang berada di hadapan Norfarahdini terjatuh dan dia tidak sempat mengelak dan turut terbabas," katanya.

Norfarahdini dirawat di sebuah klinik berhampiran sebelum dimasukkan ke Hospital Changkat Melintang.

Norfarahdini yang koma kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh tetapi meninggal dunia pada 12.30 tengah hari.

Mohd Salmiza berkata, jenazah Norfarahdini akan dibawa ke kampungnya di Pasir Mas, Kelantan, malam ini.

Pengerusi Lumba Basikal TLDM, Komander Ismail Osman, berkata Norfarahdini dipercayai mengalami kecederaan dalaman.

"Tiada sebarang luka di bahagian luar. Ketika jatuh juga topi keselamatan tidak terbuka daripada kepalanya...mungkin kecederaaan di bahagian dalaman," katanya.

Turut melawat jenazah Norfarahdini ialah bekas presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Tan Sri Darshan Singh, yang menyifatkan pemergian Norfarahdini sebagai satu kehilangan besar kepada sukan lumba basikal negara. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 6/4/2010

Anwar dakwa ada perisik Israel di Bukit Aman

2010/04/06

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mendakwa kononnya terdapat perisik Israel di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Anwar, dalam perbahasan di Dewan Rakyat, berkata beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui syarikat Asiasoft (M) Sdn Bhd yang juga subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM.

Asiasoft adalah syarikat yang didaftarkan di Singapura dan berpangkalan di Tel Aviv, kata Anwar (PKR-Permatang Pauh) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010.

Beliau mendakwa kehadiran dua bekas pegawai tentera Israel dalam syarikat itu disedari oleh pegawai tertinggi PDRM dan juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Katanya, Syed Hamid telah diberi taklimat berhubung perkara itu pada 23 November 2008 di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kenyataan Anwar menyebabkan Syed Hamid (BN-Kota Tinggi) yang turut hadir dalam persidangan hari ini bangun dan berkata Anwar membuat andaian dan fitnah kerana banyak fakta yang dikemukakannya tidak sahih.

"Yang Berhormat kata saya ada di situ (mesyuarat di Bilik VIP, KLIA), itu bohong. Jangan kelirukan Dewan ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen kemudian, Anwar berkata beliau akan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, meminta supaya Mesyuarat Majlis Raja-raja campur tangan untuk membatalkan kontrak kerajaan dengan firma perunding Apco Worldwide yang beliau dakwa mempunyai kaitan dengan Israel. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 6/4/2010

Polis temui 'buku resepi' dadah di rumah pelakon

2010/04/06

KUALA LUMPUR: Polis menemui sejumlah peralatan untuk memproses dadah yang dipercayai disembunyikan oleh seorang pelakon dalam sebuah setor berkunci di tingkat 10 sebuah kondominium di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata polis turut merampas "thumbdrive" yang mengandungi "buku resepi" memproses dadah jenis Syabu atau nama kimianya, Methamphetamine, serta beberapa video mengenai cara membuat dadah itu.

"Selepas penahanan suspek pada 25 Mac lalu, polis menemui sejumlah peralatan seperti balang kaca, silinder, penunu bunsen dan mesin pengisar yang disembunyikan di kondominium itu.

"Penemuan pada 31 Mac itu hasil daripada pengakuan suspek sendiri. Suspek yang menyewa sebuah rumah bersama isterinya di tingkat enam, menunjukkan tempat dia menyembunyikan peralatan tersebut yang disimpannya dalam dua kotak di tingkat 10," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, polis percaya ada lagi individu yang terbabit sama dan sedang disiasat.

Beliau berkata, polis akan memajukan laporan siasatan kepada Kementerian Dalam Negeri dan menteri sendiri akan membuat keputusan sama ada akan menghantar suspek ke Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam atau Muar selama dua tahun. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 6/4/2010

Khidmat bas di Puduraya pindah ke Bukit Jalil mulai Isnin

2010/04/06

KUALA LUMPUR: Semua perkhidmatan bas ke utara dan selatan yang sebelum ini beroperasi di Hentian Puduraya akan dipindahkan sementara ke padang letak kereta F Bukit Jalil, bersebelahan stadium hoki bermula 12 April ini.

Pemangku Pengurus Seksyen Komunikasi Korporat Uda Holdings Berhad, Zuhaznim Izzudin, berkata perpindahan itu adalah bagi melancarkan kerja menaiktaraf dan penambahbaikan Hentian Puduraya yang dijangka mengambil masa empat bulan.

Namun begitu, katanya, perkhidmatan teksi ke Genting Highlands dan kereta sewa yang menghala ke arah utara dan selatan masih beroperasi di Hentian Puduraya.

"Pengguna boleh ke terminal sementara itu dengan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, teksi dan bas dan sehubungan itu perkhidmatan bas RapidKL disediakan untuk perjalanan dari Bukit Jalil ke Hentian Puduraya dan sebaliknya dengan kekerapan 15 minit setiap ketibaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhaznim berkata, gerai makan dan ruang niaga serta kemudahan awam seperti surau dan tandas awam disediakan di kawasan tempat letak kereta Stadium Hoki Bukit Jalil bersebelahan dengan terminal sementara itu.

Katanya, bagi memudahkan pengguna, kaunter pertanyaan di bawah seliaan Uda Mall turut disediakan di Hentian Puduraya dan terminal sementara Bukit Jalil dan sebarang maklumat lanjut mengenai pemindahan tersebut boleh didapati dengan menghubungi talian hotline 03-20787017 dan 03-20786018. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 6/4/2010

Ameng ditahan polis kes ugut bekas isteri

2010/04/06

KUALA LUMPUR: Bekas penyanyi utama Spring, Ameng ditahan polis berhubung kes ugutan terhadap bekas isterinya, selain ujian air kencingnya didapati positif dadah.

Sumber : Berita Harian Online 6/4/2010

Pemilik kapal bocor di Great Barrier Reef boleh disaman A$1j

PENCEMARAN SERIUS: Tumpahan minyak dari kapal yang berdaftar di China ini bakal menjejas teruk kehidupan laut dan terumbu di Great Barrier Reef. -- Foto REUTERS


6 Apr 2010

SYDNEY: Pemilik kapal kargo arang batu yang menyebabkan kebocoran minyak di sekitar Great Barrier Reef, boleh disaman sehingga A$1 juta.

Semalam, kapal Shen Neng I berukuran 230 meter yang membawa sebanyak 950 tan minyak dikhuatiri pecah dan menyebabkan tumpahan minyak itu menjadi lebih teruk.

Great Barrier Reef merupakan antara daya tarikan utama pelancong ke Australia dan amat mudah mengalami kemusnahan sekiranya berlaku pencemaran.

Kapal yang berdaftar di China itu dilaporkan merempuh terumbu Douglas Shoal pada Sabtu lalu dan telah tersasar 15 kilometer dari laluan biasa bagi kapal.

Perdana Menteri Queensland, Cik Anna Bligh, berkata tindakan tegas harus diambil ke atas syarikat kapal itu kerana melanggar undang-undang dengan memasuki kawasan Great Barrier Reef.

'Kawasan ini merupakan salah satu sekitaran marin yang paling berharga di dunia dan terdapat laluan khusus yang selamat dan dibenarkan oleh kapal dan di situlah kapal itu sepatutnya berada.'

Kapten kapal itu juga boleh disaman A$250,000.

Kapal yang dalam perjalanan ke China itu dimiliki oleh syarikat The Shenzhen Energy Group, yang merupakan anak syarikat Cosco Group.

Siasatan kini sedang dijalankan oleh Penguasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia ke atas syarikat itu bagi mengetahui mengapa kapal itu tersasar dari laluan kapal.

Jurucakap Keselamatan Maritim Queensland, Encik Patrick Quirk, berkata kapal itu masih bergerak di atas terumbu dan lantas bakal menyebabkan tumpahan minyak sepanjang tiga kilometer itu menjadi lebih buruk.

Bahan kimia penyerap minyak telah pun disemburkan pada tumpahan minyak itu.

Pihak berkuasa berkata ekoran perlanggaran yang berlaku enjin utama dan kemudi kapal itu rosak.

Cik Bligh berkata usaha menarik kapal itu ke darat merupakan satu operasi yang rumit.

'Jika kapal ini pecah, dan jika berlaku tumpahan lebih besar, kita bukan hanya akan melihat minyak itu melimpah ke Taman Marin Great Barrier Reef malah sehingga ke pantai-pantai Shoalwater Bay, yang merupakan kawasan taman negara,' kata beliau. -- Reuters, AFP.

Sumber : Cyberita Online 6/4/2010

Tiga beranak maut apabila kereta bertembung

KAWASAN MAUT: Salah satu daripada kereta yang bertembung di Kilometer 21.3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, yang dikenal pasti sebagai kawasan maut. -- Foto BHM


6 Apr 2010

GUA MUSANG: Sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia 26 hari terbunuh apabila dua kereta bertembung dekat Gua Sejuk di sini, tengah hari kelmarin.

Empat orang cedera parah dalam nahas pada 11.45 pagi di Kilometer 21.3 Jalan Gua Musang- Kuala Krai itu.

Pekerja kilang, Encik Amran Che Wil, 33 tahun; isterinya, Cik Normi Syaidah Mohd Jamil, 25 tahun; dan bayi mereka, Alif Iskandar, yang tercampak keluar dari kereta yang dipandu Encik Amran, mati di tempat kejadian.

Mangsa parah ialah anak sulung mereka, Aiman Hazri, empat tahun, serta tiga beranak yang menaiki kereta yang sebuah lagi, iaitu anggota polis, Encik Mat Azirol Mat Jaih, 20-an tahun; isterinya, Cik Saliza Selamat, 30 tahun; dan anak mereka, Nurul Umairah, dua tahun.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Saiful Bahri Abdullah, berkata keluarga Allahyarham Amran dalam perjalanan pulang dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur, manakala keluarga Encik Mat Azirol dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

'Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu Mat Azirol cuba memotong sebuah kereta di depan tetapi gagal lalu bertembung kereta keluarga Amran.

'Pertembungan kuat menyebabkan dua kenderaan itu remuk dan kereta Proton Saga keluarga Amran terhumban,' katanya.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat Gua Musang dikejarkan untuk membantu mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam dua kereta itu.

Menurut Superintenden Saiful Bahri, Kilometer 21.3 itu antara lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan maut berikutan kekerapan kemalangan berlaku, termasuk tahun lalu yang meragut 12 nyawa. -- BHM.

Sumber : Cyberita Online 6/4/2010

Rumah arwah Din Beramboi digeledah pencuri

ROSLI menunjukkan pagar belakang tempat pencuri menceroboh rumah arwah Din Beramboi di Taman Sentosa, Sungai Buaya, Kuala Kubu Baru semalam.

KUALA LUMPUR - Ketika ramai orang masih bersedih dengan kematian pelawak dan penyampai Radio Era, Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau Din Beramboi, ada pihak pula mengambil kesempatan memecah masuk rumah Allahyarham di Sungai Buaya, Kuala Kubu Baru kelmarin.

Mereka mengambil peluang daripada keadaan rumah itu yang sering ditinggalkan kosong dengan masuk melalui pintu belakang sebelum melarikan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM20,000.

Sumber : Kosmo Online 6/4/2010

Isteri bawa anak-anak jumpa Badrul Muhayat

Julia bersama anaknya, Siti Nor Batrisyia semasa melawat Badrul di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor semalam.

AMPANG JAYA - Polis semalam mendapat perintah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga hari ini terhadap pelakon Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 41, bagi melengkapkan siasatan berhubung kes mencederakan isterinya, Julia Daud pada 24 Mac lalu.

Pendaftar Mahkamah, Shamsul Azirudin Ahamad mengeluarkan perintah itu bagi membolehkan Badrul disiasat mengikut Seksyen 506 dan 324 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan cedera terhadap Julia, 28.

Sumber : Kosmo Online 6/4/2010

Perjuangan besar – PM

Najib Tun Razak (tengah) beramah mesra bersama peserta selepas merasmikan Forum Kepimpinan ASEAN Axiata ketujuh di Petaling Jaya, semalam. – BERNAMA



PUTRAJAYA 5 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha kerajaan melakukan transformasi besar terhadap ekonomi negara selama ini merupakan satu perjuangan yang amat besar ertinya.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana kerajaan tidak mahu Malaysia terus ketinggalan atau terperangkap dalam negara berpendapatan pertengahan untuk selama-lamanya.

“Jadi, program transformasi tersebut amat penting bagi kita untuk melakukan perjalanan ini.

“Begitu juga dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kerana ia menggambarkan hasrat kerajaan untuk memenuhi harapan dan jangkaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Najib memberitahu, terdapat dua perkara yang berhubung kait kepada cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan masa kini.

Perkara pertama, kata beliau adalah bagaimana kerajaan hendak menguruskan bukan sahaja sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya tetapi yang semakin kritikal ialah menguruskan masyarakat yang pelbagai itu.

“Kalau dulu ia tidak menjadi suatu cabaran yang besar tetapi hari ini ia lebih diberikan perhatian oleh rakyat seperti soal pertukaran agama, kahwin-cerai, mati, isu kalimah Allah dan sebagainya.

“Ini merupakan cabaran amat besar yang perlu ditangani oleh kita dan saya sekadar menyebut perkara itu tetapi ia sentiasa dalam perhatian dan pertimbangan pihak kerajaan,” katanya.

Najib berkata, perkara kedua adalah bagaimana hendak menguruskan sebuah masyarakat yang semakin hari semakin canggih dari segi jangkaan dan harapan mereka.

“Jadi, isu-isunya adalah seperti macam mana kita nak menguruskan sikap keterbukaan itu termasuk menguruskan media baru dan sebagainya,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online 6/4/2010

Korea Utara tuduh AS enggan terima mayat askarnya

06/04/2010 2:44am

SEOUL 6 April - Korea Utara hari ini menuduh Amerika Syarikat (AS) tidak mengendahkan usaha negara itu untuk menyerahkan mayat askar-askar AS yang terbunuh ketika Perang Korea pada 1950-an dan mengugut untuk berhenti mengumpulkan mayat berkenaan.

Pihak tentera negara itu berkata, mereka sudah dua kali memberitahu tentera AS mengenai perkara itu namun Jabatan Pertahanan AS tidak memberi respons membina sebaliknya meminta Korea Utara untuk menunggu.

``Walaupun banyak mayat askar AS ditemui di sana sini di negara kita namun mulai sekarang kita tidak akan ambil kisah mengenainya,’’ kata satu kenyataan tentera yang dilaporkan oleh Korean Central News Agency di sini.

Perang Korea tamat pada 1953 melalui satu gencatan senjata yang menjadikan Semenanjung Korea secara teknikalnya masih lagi dalam keadaan perang. Kira-kira 8,000 askar AS disenaraikan sebagai hilang dalam konflik berkenaan. - AP

Sumber : Utusan Malaysia Online 6/4/2010

Isnin, April 05, 2010

Siti rampas semula gelaran

Oleh Roslen Fadzil, Ramlah Zainal dan Wan Asrudi Wan Hasan
am@hmetro.com.my
2010/04/05
CERIA...Norkhiriah dan Nabil bersama trofi kemenangan masing-masing.


GENTING HIGHLANDS: Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin merampas kembali gelaran Bintang Paling Popular yang dimenangi empat tahun lalu pada majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang berlangsung di sini, malam tadi.

Penyanyi wanita terkenal itu pernah enam kali menjulang trofi Bintang Paling Popular dan lebih hebat, 13 kali berturut-turut bergelar Penyanyi Wanita Paling Popular dalam majlis itu.

Siti, 31, meraih gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tinggi iaitu Aizat, Faizal Tahir, Nabil dan Aznil Nawawi.

Dia memenangi hadiah utama kereta Nissan X-Trail berharga RM130,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, barang kemas bernilai RM150,000 tajaan Habib serta pakej penginapan bernilai RM18,000 tajaan Palace of the Golden Horses, perabot tajaan Empire Classic Furniture selain trofi.

Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang yang bergiat aktif dalam industri hiburan sejak 15 tahun lalu turut mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular.

Trofi Bintang Paling Popular 2009 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang pada majlis kemuncak ABPBH 2009 di Arena of Stars di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid.

Majlis gilang-gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara bertemakan ‘Cetusan Warna' yang berlangsung lebih dua setengah jam.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada penyanyi popular era 80-an, Datuk Khatijah Ibrahim sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang seni suara dan perfileman tanah air selama 30 tahun.

Sementara itu, Aizat meraih gelaran Penyanyi Lelaki Popular dengan menewaskan saingan terdekatnya, Faizal Tahir, selain Mawi, Akim dan Adam.

Siti Nurhaliza terus mengekalkan reputasinya sebagai Penyanyi Wanita Popular apabila memenangi gelaran kategori itu untuk kali ke-13 selepas mengetepikan Stacy, Mila, Yuna dan Jaclyn Victor.

Aktor Que Haidar pula memenangi gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular menewaskan Aaron Aziz, Afdlin Shauki Hamzah, Zul Huzaimy dan Farid Kamil, manakala Liyana Jasmay merangkul gelaran Pelakon Filem Wanita Popular.

Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular milik kedua-dua pelakon utama drama bersiri popular, Nur Kasih, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah.

Kumpulan Bunkface dan Rabbani masing-masing memenangi kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular dan Artis Nasyid Popular, manakala penyanyi yang mencetus fenomena tersendiri, Yuna merangkul gelaran Artis Baru Wanita Popular.

Bagi Artis Baru Lelaki Popular, ia milik juara Mentor musim ketiga, Black yang popular dengan lagu Aku Cinta Sayang Kamu.

Pelakon drama, Norkhiriah kali pertama dicalonkan pada ABPBH berjaya membawanya meraih hadiah Artis Komedi Wanita Popular manakala Nabil pula memenangi Artis Komedi Lelaki Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Faizal Ismail dan Fara Fauzana, kedua-duanya mewakili Hot FM. Fara turut mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular.

Aznil pula berjaya mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular buat kali ketujuh.

Sumber : myMetro 5/4/2010

'Saya bukan pelacur'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/04/05
TERIMA TEMPAHAN...Lia menerima panggilan telefon daripada pelanggan lelaki yang mahukan perkhidmatan urutan batin.



KUALA LUMPUR: Dia cukup dikenali di kalangan artis lelaki tempatan termasuk pelakon dan penyanyi daripada program realiti serta golongan korporat kerana kepakarannya memulihkan masalah lemah tenaga batin.

Tidak hairanlah wanita tukang urut ini mendakwa pernah melakukan urutan batin terhadap lebih 1,000 pelanggan lelaki yang kemaruk teknik urutan istimewa ditawarkannya.

Wanita ini bukan calang-calang tukang urut kerana mendakwa mempunyai kepakaran khusus bagi menambah kekuatan syahwat lelaki berikutan ilmu dipelajari melalui beberapa `guru’ berpengalaman.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Lia, 43, mendakwa langsung tidak berasa jijik terhadap kerja dilakukan dengan alasan tugasnya hanya untuk membantu lelaki yang menghadapi masalah lemah tenaga batin.

Lebih mengejutkan, apabila suaminya yang bekerja di sebuah badan berkanun langsung tidak mengetahui aktiviti dilakukan kerana menyangka wanita terbabit sekadar bekerja sebagai bidan serta tukang urut wanita baru bersalin.

Lia berkata, kerjayanya sebagai tukang urut bermula kira-kira 12 tahun lalu selepas diajak bekerja oleh rakannya di sebuah pusat urutan di Pandan Jaya, Ampang.

Menurutnya, dia yang ketika itu masih muda dan naif tertarik dengan pekerjaan itu selepas ditawarkan pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

“Saya mulanya menyangka ia sekadar urutan tradisional biasa, namun terkejut apabila pemilik pusat urutan tradisional terbabit memberitahu saya perlu melakukan urutan batin bagi mendapatkan lebih komisen.

“Walaupun kekok dan malu, selepas diajar serta diberikan `kelas’ bimbingan oleh beberapa pekerja senior, saya mulai biasa dengan tugas itu,” katanya selepas dipujuk wartawan menceritakan pengalaman kerjayanya.

Menurutnya, bagi setiap bayaran urutan batin dilakukan, pelanggan membayar tambahan RM50 selain kos urutan RM60.

“Daripada bayaran RM50 bagi urutan batin, saya menerima komisen RM20 manakala baki RM30 lagi diambil tauke.

“Ada kalanya ada pelanggan lelaki datang bukan untuk mengurut badan, namun semata-mata untuk merasai urutan batin hingga sanggup membayar sekali ganda harga perkhidmatan ditetapkan,” katanya.

Namun, selepas bekerja selama lima tahun, dia berasakan kerjayanya seolah-olah dikongkong, apatah lagi dengan gaji yang masih di takuk lama selain keuntungan diperoleh hasil komisen `dirembat’ tauke.

“Atas nasihat rakan saya berpindah dari satu rumah urut ke rumah urut lain sebelum akhirnya mengambil keputusan bergiat secara solo berikutan sudah mempunyai ratusan pelanggan tetap yang hanya perlu menghubungi saya melalui telefon.

“Saya akan dihubungi melalui telefon bimbit untuk tempahan sama di bilik hotel, pangsapuri atau di pusat urut milik rakan di Greenwood, Gombak,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menawarkan urutan badan dan batin tanpa membabitkan hubungan seks.

“Bukan tiada pelanggan sanggup membayar lebih jika saya bersetuju melakukan aksi ranjang, namun saya menolak dengan baik kerana tidak mahu merosakkan profesion dan dilabelkan pelacur.

“Saya masih ada maruah dan hanya melakukan tugas mengurut tubuh terutama bahagian saraf tertentu pada kemaluan lelaki yang mampu memulihkan keinginan syahwat `lembik’ selain mengembalikan kejantanan,” katanya.

Menurutnya, ada antara artis lelaki yang datang berurut dengannya mengalami masalah `mati pucuk’ ketika usia muda kerana terlalu kerap melakukan onani atau terbabit seks bebas sejak usia belasan tahun.

“Selepas tiga hingga lima kali menjalani rawatan, kebanyakan mereka mampu pulih seperti sedia kala dan berpuas hati dengan khidmat saya,” katanya sambil sibuk mengangkat panggilan telefon daripada pelanggan.

Lia berkata, ramai masyarakat tersalah anggap kerana menyangka kerjayanya tidak ubah seperti `pelacur’ berikutan sanggup memegang kemaluan lelaki untuk melakukan urutan batin.

“Semua yang saya lakukan (urutan batin) bukan ‘semberono’ kerana ia dilakukan mengikut langkah demi langkah dimulai dengan urutan pada bahagian perut, paha, pinggang dan bahagian bawah pusat menggunakan minyak urut khas.

“Ia diikuti urutan pada bahagian pangkal kemaluan yang dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan urat darah yang tersimpul kembali lancar,” katanya.

Menurutnya, dia mampu memperoleh sehingga RM100 bagi pelanggan biasa dan RM200 bagi pelanggan istimewa terutama di kalangan selebriti. Adakalanya dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil kerja itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun cukup berahsia dan enggan mendedahkan identiti pelanggan di kalangan artis yang pernah mendapatkan khidmat urutan batin dengannya kerana berpegang kepada janji dan prinsip.

“Jika saya sebut nama artis berkenaan, pasti satu Malaysia mengenalinya, namun saya sudah berjanji merahsiakan nama mereka atas dasar bisnes,” katanya.

Sumber : myMetro 5/4/2010

Jualan 14 batang diharamkan: Liow

2010/04/05

KUALA LUMPUR: Penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan hanya akan membenarkan penjualan rokok 20 batang yang lebih mahal harganya selain memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.

"Kita baru perkenalkan harga minimum pada Januari. Kita akan lihat kesan terlebih dahulu dan kaji langkah-langkah lain termasuk untuk adakan lebih banyak kawasan larangan merokok," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Mohd Hatta ingin tahu adakah kerajaan bersedia menaikkan harga lantai rokok untuk menghalang golongan muda daripada memulakan tabiat merokok.

Liow berkata kementerian akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain terutamanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras penyeludupan rokok yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berhubung cadangan menetapkan harga siling bagi rokok, Liow berkata tiada keperluan bagi cadangan itu dilaksanakan kerana harga rokok pada masa ini cukup tinggi. - Bernama

Sumber : myMetro 5/4/2010

Sunyi tanpa Din

Oleh HARYATI KARIM dan AFIFI HAFIZ MOHD NOR
hiburan@kosmo.com.my

PENGHORMATAN terakhir daripada Aznil buat Din Beramboi, teman yang sudah pasti bakal dirinduinya sampai bila-bila.



MENGENALI seorang Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, menyimpan satu memori yang tidak dapat diucapkan.

Apa yang pasti apabila teringatkan penyampai radio, pelawak dan pengacara terkenal itu, tanpa sedar senyuman terukir di bibir. Pasti ramai yang mengenali Din sama ada secara dekat atau jauh bersetuju dengan kenyataan itu.

Pemergiannya ke rahmatullah pada pukul 12.30 pagi Jumaat lalu kerana demam denggi berdarah di Hospital Selayang, benar-benar membuatkan satu Malaysia tersentak kerana tidak menyangka allahyarham akan pergi secepat itu. Rasanya baru semalam, mendengar celotehnya di corong radio.

Selepas ini, tiada lagi gurau senda dan gelak tawanya. Apa yang tinggal hanyalah kenangannya yang membikin hati setiap insan terisi dengan tawa.

Terlalu baik

Kesedihan untuk melepaskan teman yang selalu menemaninya setiap pagi di segmen Riuh Pagi Era di stesen radio Era amat dirasai pengacara dan penyampai radio Aznil Nawawi.

Katanya, lelaki yang telah dikenalinya sejak 17 tahun yang lalu itu merupakan seorang rakan yang terlalu baik kerana beliau sentiasa membuatkan semua orang gembira.

"Pernah satu ketika saya sedang sedih, Din datang dan terus buat lawak. Saya pun tegur dia bukan setiap masa kita boleh berlawak. Din kata balik: "Nil kau ingat kalau kau sedih masalah kau boleh selesai?

"Disebabkan seekor nyamuk, saya kehilangan seorang rakan baik bernama Din Beramboi yang merupakan 'ubat' kesedihan saya. Sepanjang mengenalinya saya tidak pernah lihat dia sakit kecuali, batuk-batuk kecil sahaja," ujar Aznil.

Tambah Aznil, sepatutnya segmen pagi di stesen radio tersebut hanya dikendalikan oleh Din seorang sahaja.

Namun, dia telah menghantar surat tawaran untuk bekerja pada waktu pagi apabila Din meminta untuk menemaninya.

"Pada mulanya dia tidak mempunyai keberanian untuk bekerja seorang diri dan minta saya temankan dia. Saya pula kata yang saya ini tidak boleh bangun pagi. Akhirnya, saya menjadi teman sekerjanya dan kami sungguh serasi di konti.

"Masa dia mula kerja di Era dia tidak ada kerja tetap, malahan dia juga pernah jual kek pisang. Bukan itu sahaja, dia juga ada buat pelbagai kerja. Dia memang seorang yang sangat rajin," tuturnya.

Meskipun populariti yang menyinari perjalanan kerja seni allahyarham agak lewat tiba, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rezekinya agak melimpah ruah.

Bagaimanapun, impiannya untuk berdiri di atas pentas menerima anugerah tidak tercapai kerana allahyarham lebih disayangi Allah.

"Saya pernah menggelarkan dia pengacara kedai kopi semasa Anugerah Bintang Popular kerana mengacarakan program itu ketika majlis itu berhenti untuk iklan.

"Din Beramboi kata pada saya: "Kau okeylah, duduk bawah sebab tercalon untuk dapat anugerah. Sejak itu, Din berusaha untuk untuk mendapatkan impiannya.

"Alhamdulillah, tahun ini dia tercalon dalam senarai Anugerah Bintang Popular tetapi apakan daya dia sudah tiada," luah Aznil sedih.

Perubahan

Walaupun, meninggal dunia dalam masa yang begitu cepat tetapi seorang rakan baik Din iaitu Bob Lokman yang terlibat sama sebagai juri dalam program Raja Lawak musim keempat bersama Din mula menyedari perubahan rakannya itu.

Namun, dia tidak menyangka segala pesanan dan kata-kata serius yang dituturkan merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Din pernah cakap Alex boleh gantikan tempatnya di radio Era ketika Final Raja Lawak baru-baru ini. Bila terkenang balik rupa-rupanya Din memang nak pergi tinggalkan kita.

"Antara perkara pelik yang saya perasan dekat Din ialah semasa final program Raja Lawak, dia menjadi seorang yang serius tidak seperti malam-malam sebelum itu," ceritanya.

Jelasnya lagi, sungguhpun ada sesetengah orang menganggap lawak yang dibikin Din agak merapu tetapi tidak bagi Bob Lokman. Baginya lawak Din berdiri di kelasnya yang tersendiri.

"Lawak Din Beramboi berbeza daripada lawak orang lain kerana lawaknya kelihatan berani. Orang yang tak kenal dia memang cakap dia merapu tetapi hakikatnya Din Beramboi seorang yang serius.

"Memang Din merapu tetapi dia merapu bijak. Itu membezakannya dengan orang lain. Bagi Din, dalam hidupnya dia akan sentiasa buat lawak demi melihat orang lain ketawa," bicara Bob Lokman.

Istimewa

Seorang lagi rakan rapat Din Beramboi yang dihambat kesedihan impak kehilangan seorang rakan yang sangat istimewa ialah pengarah dan pelakon Afdlin Shauki. Malah, dia hampir hilang kata-kata.

Tatkala dihubungi sehari sebelum pemergian Din, Afdlin ketika itu sudah tidak mampu menjawab sebarang panggilan telefon apatah lagi jika mahu disoal berkenaan kondisi Din yang waktu itu berada dalam keadaan kritikal.

"Din Beramboi merupakan seseorang yang berkerja untuk keluarga dan merupakan seorang yang kuat. Sepatutnya kami akan memulakan pengambaran pada minggu depan tetapi Din sudah pergi.

"Selepas raya ini juga sepatutnya kami akan memulakan penggambaran filem Along Bukit Beruntung yang watak utamanya akan dilakonkan oleh Din Beramboi," ungkap Afdlin yang merupakan antara orang terawal menghebahkan penyakit Din di laman sosial Facebook dan Twitter.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Taman Ehsan, Kepong, Jumaat lalu. Beliau meninggalkan seorang balu, Suhaini Che Man dan tiga orang anak yang masing-masing berumur antara 18, 16 dan enam tahun.

Sepanjang kerjaya Din Beramboi, selain menjadi penyampai radio di radio Era, beliau pernah membintangi beberapa buah sitkom dan telefilem.

Bagaimanapun, semua watak yang diberikan kepadanya hanyalah watak sampingan. Namun, sedang angan-angannya untuk memegang watak utama bakal menjadi kenyataan apabila ditawarkan watak utama menerusi Ah Long Bukit Beruntung, Din Beramboi pergi dulu meninggal kita semua.

Malah, mulai 23 Februari lalu Din juga telah muncul dalam programnya sendiri yang berjudul Wuhai Beramboi melalui saluran Warna di Astro.

Dalam satu temu bual yang diadakan bersamanya sekitar Februari masih terngiang-ngiang kata-kata di telinga: "Saya rasa kini saya boleh berbangga dengan konsep lawak jenaka yang saya ketengahkan. Esok atau lusa kalau saya sudah meninggal dunia, mungkin orang akan ingat dengan konsep lawak sebegini."

Sumber : Kosmo Online 5/4/2010

Isteri anggap Sudin Ajaib sudah mati

2010/04/05

PASIR MAS: "Saya anggap Sudin sudah mati," kata isteri pertama Shamsuddin Che Derahman atau Sudin Ajaib, lelaki tabligh berusia 41 tahun yang masih diburu polis kerana kesalahan mengahwini kanak-kanak bawah umur.

Rohana Ibrahim, 34, yang mempunyai empat anak, menyifatkan suaminya itu telah banyak memberi penderitaan kepada beliau sekeluarga.

"Tanpa kehadiran Sudin, kami kini dalam keadaan tenang," katanya di sini.

Rohana berkata, sudah hampir sebulan suaminya itu menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.

"Saya dan anak-anak pun tidak mengharap dan saya sendiri sudah tawar hati padanya. Cukuplah, dia sudah banyak menyusahkan hidup kami anak beranak," katanya.

Rohana berkata, anak-anaknya juga tidak bertanyakan bapa mereka malahan anak sulungnya, Siti Nur Nadhirah, 11, yang dinikahkan oleh Sudin dengan sahabat tablighnya, juga enggan menyebut dan bercakap apa-apa mengenai Sudin.

"Kami sekeluarga tidak mahu pun mencari Sudin, biarlah apa dia nak buat, sama ada dia hidup atau mati kami tidak mahu ambil peduli," katanya.

Ditanya apakah tindakan selanjutnya yang akan dilakukan terhadap Sudin kerana mengabaikan rumahtangga, Rohana berkata beliau kini dalam proses membuat tuntutan sewajarnya mengikut undang-undang.

"Semuanya masih dalam proses dan diharap semuanya akan selesai secepat mungkin," katanya.

Beliau turut melahirkan kelegaan dengan penangkapan lelaki yang mengahwini anaknya.

"Syukurlah dia dah ditahan, kalau tidak dia dan Sudin mesti tidak akan berhenti menggunakan kanak-kanak menjadi mangsa. Sekurang-kurangnya bila dia ditahan, sekarang pihak polis boleh memberi tumpuan untuk mencari dan menahan Sudin pula," katanya.

Shamsuddin dilaporkan menikahkan anak perempuannya yang berumur 11 tahun dengan sahabatnya yang dikenali sebagai "Azhar" dalam sebuah kereta.

Shamsuddin sendiri telah menikahi seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin, dan melarikan kanak-kanak itu.

Pada 12 Mac lalu kanak-kanak itu ditemui apabila ditinggalkan Sudin di sebuah surau di Batu Caves, Selangor.

Polis yang melancarkan gerakan memburu kedua-dua lelaki itu berjaya menahan "Azhar" pada 23 Mac lalu manakala Sudin belum dapat dijejaki.

Ibu Siti Nur Zubaidah Hussin, Siti Sarnan Mat Ail, 42, berkata anaknya kini semakin pulih daripada trauma dan sudah mampu menjalani kehidupan sebagaimana kanak-kanak lain.

"Sekarang ini dia pun semakin gembira dan dapat belajar dengan baik," katanya.
Siti Nur Zubaidah kini masih berada dalam jagaan seorang bapa saudaranya. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 5/4/2010

Lelaki mati ditembak di kepala oleh penyerang bertopeng

2010/04/05

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki mati ditembak di kepala dari jarak dekat oleh seorang penyerang bertopeng dalam sebuah rumah di Taman Asas Dalam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abdullah, berkata ketika kejadian jam 11.30 malam tadi, Ang Hock Kee, 55, berada dalam rumah berkenaan bersama seorang rakannya.

"Tiba-tiba seorang lelaki bertopeng masuk dan mengarahkan rakan mangsa supaya meniarap di lantai sebelum dia melepaskan dua tembakan ke kepala Ang dan melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azman berkata, polis sedang siasat motif pembunuhan dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan dendam.

Ang yang mempunyai keluarga tetapi tinggal seorang diri di rumah itu sejak lima bulan lalu.

Mayat beliau dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat.

Katanya, polis telah mengambil keterangan rakan Ang.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 5/4/2010

Polis bongkar makmal ecstacy di Pulau Pinang

2010/04/05

BALIK PULAU: Polis berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis ecstacy dalam dua serbuan di Paya Terubong dan Relau di sini berikutan penahanan seorang lelaki Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin, berkata hasil risikan sejak tiga minggu lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Paya Terubong dan menahan lelaki berusia 20 tahun itu kira-kira 3.30 pagi.

"Dalam serbuan di rumah sewa yang didiami lelaki berkenaan, kita merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 35 gram, Ketamin (62g) dan pil ecstacy sebanyak 32 biji," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan lelaki terbabit, polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses ecstacy di Relau.

"Sindiket yang dianggotai lelaki yang bekerja sebagai buruh itu menjadikan rumah berkenaan untuk memproses ecstacy sebelum mengedarkannya di sekitar negeri ini," katanya.

Hatta berkata, semasa serbuan, tiada sesiapa di rumah yang disewa sindiket itu dan polis merampas pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses bahan terlarang berkenaan.

Katanya, antara dadah yang dirampas ialah 1,010 biji ecstacy, 1.5kg kafein, serbuk ecstacy, asid dan dua mesin membuat tablet ecstacy.
"Semua dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira RM60,000 dan polis kini giat mengesan anggota serta dalang sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan sindiket yang baru tiga minggu beroperasi di rumah terbabit berpindah-randah bagi mengelak di kesan pihak berkuasa.

Katanya, lelaki berkenaan direman sehingga esok bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 5/4/2010

Program susu sekolah ditangguh sehingga pengilang patuhi syarat

2010/04/05

KUALA LUMPUR: Program Susu Sekolah (PSS) akan ditangguh sehingga pengilang terbabit mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sijil "Hazard Critical Control Point" (HACCP), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan antara kementeriannya dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menetapkan pemerolehan sijil tersebut bagi mengelakkan berulangnya kes keracunan susu di sekolah.

"Sejak dua tahun lalu, kementerian dan KKM sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan lakukan audit ke atas pengilang tetapi sampai hari ni pengilang masih belum buat penambahbaikan atau pengubahsuaian seperti yang disyaratkan oleh pensijilan HACCP.

"Oleh itu adalah wajar program ini ditangguhkan sementara waktu," katanya menjawab soalan Chua Tee Yong (BN-Labis) yang ingin tahu bila PSS akan disambung semula dan langkah untuk mengatasi masalah keracunan susu, di sini.

Wee juga berkata, hanya terdapat satu pengilang susu di Semenanjung Malaysia iaitu Dutch Lady dan selepas tiga pengauditan dibuat dalam tempoh dua tahun, KKM telah menghantar surat kepada Kementerian Pelajaran bahawa kilang tersebut masih belum mematuhi syarat seperti yang dijanjikan.

"Maka disebabkan itu, kita tidak dapat meneruskan program ini," katanya.

Selain pengilang, katanya kerajaan turut menitik beratkan rangkaian pengagihan susu ke sekolah termasuk cara mengangkut dan menyimpan bekalan susu yang telah diterima.
"Tiga aspek ini perlu diberi perhatian. Kalau sekolah yang besar, 'chiller' perlu dibekalkan untuk memastikan susu yang segar, bukannya susu basi dibekalkan kepada pelajar miskin," katanya. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 5/4/2010

PKR senarai pendek lima calon Hulu Selangor

2010/04/05

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyenarai pendek lima nama sebelum memutuskan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh, berkata setakat ini Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan oleh peringkat akar umbi.

Bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, berkata PKR tidak menetapkan faktor kaum sebagai antara kriteria sebaliknya memastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan.

Katanya, pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon minggu depan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April untuk penamaan calon. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 5/4/2010

Azan Ismail saman fitnah RM29j terhadap Utusan Malaysia

05/04/2010 12:29pm

KUALA LUMPUR 5 April – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini memfailkan saman fitnah sebanyak RM29 juta terhadap Pengarang Berita Utusan Malaysia, Zulkifli Bakar dan syarikat akhbar, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. – Utusan

Sumber : Utusan Malaysia Online 5/4/2010

Pengarah syarikat dihukum penjara enam tahun dan tiga kali sebat

05/04/2010 11:16am

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat pembekalan kayu dihukum penjara 6 tahun dan 3 kali sebat oleh Mahkamah Sesyen dsini hari ini selepas didapati bersalah atas 1 tuduhan menipu Bangkok Bank Public Company Limited bagi mendapatkan cek brnilai AS$1.2juta dan 50 tuduhan dibawah Akta Pengubahan Wang Haram membabitkan wang sejumlah RM3.6juta, lima tahun lalu. - Utusan

Sumber : Utusan Malaysia Online 5/4/2010

Tengku Muhammad Faris tarik balik saman

05/04/2010 10:40am

KUALA LUMPUR 5 April - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra hari ini menarik balik saman yang dikemukakan untuk mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi di sini bagi mengesahkan bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd.

Hamzah sebagai 'Pemangku Raja Kelantan' adalah tidak sah dan terbatal.

Permohonan untuk menarik balik saman pemula yang difailkan Tengku Mahkota Kelantan itu pada 30 Mac lalu, dikemukakan oleh peguam Zainur Zakaria yang mewakili beliau ketika kes disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Aziah Ali dalam kamar pagi ini. - Utusan

Sumber : Utusan Malaysia Online 5/4/2010

Cacat bukan penghalang kejayaan

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
berita@kosmo.com.my




BESUT - Wan Aini Wan Ibrahim, 21, dikenali sebagai gadis lincah dengan semangat membara untuk menjadi pendidik sewaktu mengikuti pengajian di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim tahun lepas.

Namun, masa depannya tiba-tiba pudar pada akhir Oktober lalu apabila anak penoreh getah dari Hulu Besut, Terengganu itu diserang bakteria kencing tikus atau leptospirosis.

Dia bukan sahaja terpaksa menamatkan pengajian seawal semester pertama, tetapi lebih parah kedua-dua belah kaki, dua jari tangan kanan dan pergelangan tangan kirinya dipotong akibat gangren.

Walaupun kini berkerusi roda, Wan Aini tidak patah semangat untuk meneruskan pengajian dan akhirnya mencapai cita-cita menjadi guru.

"Saya bersyukur kerana telah mendapat tawaran baru daripada UPSI untuk kembali meneruskan pengajian pada 4 Julai ini,'' katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr. Abdulah Md. Zin di Kampung La, Hulu Besut semalam.

Berita yang cukup menggembirakan Wan Aini ialah pihak Badan Kebajikan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, Kelantan akan menghadiahkan sepasang kaki palsu untuknya.

"Saya mahu membuktikan bahawa orang cacat macam saya juga boleh berjaya,'' ujarnya.

Sumber : Kosmo Online 5/4/2010

H1N1 masih aktif

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

Rosnah Shirlin menyampaikan permainan kepada pesakit kanak-kanak di Institut Pediatrik Kuala Lumpur, semalam



KUALA LUMPUR 4 April - Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada orang ramai sekiranya berlaku gelombang kedua wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menangani penyakit tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kematian seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak di Hospital Melaka kelmarin akibat H1N1 bukan bermakna gelombang kedua telah kembali melanda.

Namun tegasnya, penyakit tersebut masih aktif dengan 80 orang telah meninggal dunia dan sebanyak 12,715 orang telah dikesan positif dijangkiti virus itu sehingga semalam.

"Wabak itu masih aktif dan sehingga semalam tiga kes H1NI telah diterima daripada makmal iaitu masing-masing satu daripada Hospital Umum Sarawak, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Hospital Melaka,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen 'Life is Precious' 1Malaysia 1Jiwa 1Cinta di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Selain itu, katanya, satu kejadian berkelompok Simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI) telah dikesan di sebuah sekolah kebangsaan di Jasin, Melaka bermula 2 April yang melibatkan 24 pelajar.

"Bahan uji simptom ILI itu telah diambil 2 April lalu dan dihantar ke makmal Sungai Buloh tetapi keputusan masih belum diterima sehingga hari ini," katanya.

Beliau menambah, sebanyak 92 pesakit baru dengan simptom ILI telah dimasukkan ke hospital, sementara 42 kes telah dibenarkan keluar.

Menurutnya, sebanyak 401 kes ILI masih menerima rawatan di 46 hospital kerajaan dan tiga hospital swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, jelasnya, 26 pesakit atau 6.5 peratus disahkan dijangkiti H1N1 sementara lima kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes di Wilayah Persekutuan, dua di Selangor dan satu di Kelantan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan sekiranya demam berterusan, manakala pesakit berisiko tinggi perlu mengelak berada di tempat keramaian.

"Ibu mengandung dan kanak-kanak merupakan golongan yang senang dijangkiti virus selesema babi itu, justeru semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga," ujarnya.

Rosnah juga menasihati orang ramai terhadap gejala denggi yang mencatat jumlah kematian tinggi dan menyeru penduduk di kawasan padat membersihkan kawasan perumahan mereka dengan melakukan kerja gotong-royong.

Sumber : Utusan Malaysia Online 5/4/2010
Related Posts with Thumbnails