Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Isnin, April 05, 2010

Polis bongkar makmal ecstacy di Pulau Pinang

2010/04/05

BALIK PULAU: Polis berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis ecstacy dalam dua serbuan di Paya Terubong dan Relau di sini berikutan penahanan seorang lelaki Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin, berkata hasil risikan sejak tiga minggu lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Paya Terubong dan menahan lelaki berusia 20 tahun itu kira-kira 3.30 pagi.

"Dalam serbuan di rumah sewa yang didiami lelaki berkenaan, kita merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 35 gram, Ketamin (62g) dan pil ecstacy sebanyak 32 biji," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan lelaki terbabit, polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses ecstacy di Relau.

"Sindiket yang dianggotai lelaki yang bekerja sebagai buruh itu menjadikan rumah berkenaan untuk memproses ecstacy sebelum mengedarkannya di sekitar negeri ini," katanya.

Hatta berkata, semasa serbuan, tiada sesiapa di rumah yang disewa sindiket itu dan polis merampas pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses bahan terlarang berkenaan.

Katanya, antara dadah yang dirampas ialah 1,010 biji ecstacy, 1.5kg kafein, serbuk ecstacy, asid dan dua mesin membuat tablet ecstacy.
"Semua dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira RM60,000 dan polis kini giat mengesan anggota serta dalang sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan sindiket yang baru tiga minggu beroperasi di rumah terbabit berpindah-randah bagi mengelak di kesan pihak berkuasa.

Katanya, lelaki berkenaan direman sehingga esok bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 5/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails