Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Jumaat, April 02, 2010

Sukar tiada bas awam

Oleh Suney Leo Ertza Neo Sulaiman
am@hmetro.com.my
2010/04/02

KUALA LUMPUR: Ketiadaan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas menyebabkan kebanyakan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Pantai Dalam di sini mengeluh kerana terpaksa berjalan kaki sejauh hampir satu kilometer untuk menaiki komuter selain menggunakan perkhidmatan teksi.

Penduduk mendakwa ketiadaan perkhidmatan bas awam mengakibatkan ramai penghuni terpaksa berjalan dan menggunakan jejantas untuk menyeberang jalan kerana hanya di kawasan terbabit menjadi laluan bas.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati selain terpaksa berjalan jauh, jejantas yang digunakan juga tidak sesuai untuk warga tua kerana mereka perlu mendaki tangga jejantas terbabit sebelum menyeberang jalan.

Penduduk, Kahar Abdullah, 58, berkata sejak menetap lapan tahun lalu di kawasan PPR terbabit dia tidak pernah melihat bas melintas di tempat itu.

“Kalau disediakan perkhidmatan bas, ia akan memudahkan lagi perjalanan pelajar sekolah dan orang tua untuk bergerak seperti ke sekolah atau ke hospital.

“Rata-rata pendapatan penghuni di sini di bawah RM1,500 dan tidak mampu jika selalu menaiki teksi sedangkan banyak bayaran perlu dibayar seperti bil elektrik dan air,” katanya.

Peniaga gerai, Hasnah Omar, 55, berkata perkhidmatan bas perlu ada kerana sudah semakin ramai penduduk yang menetap di kawasan terbabit memerlukan perkhidmatan seperti itu.

“Tambang teksi sekarang ini juga bukan murah dan bagi kami yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk menaiki teksi selalu.

“Tapi menyedihkan jika melihat ada warga emas, wanita mengandung dan sakit yang tidak mempunyai kenderaan sendiri perlu menahan teksi atau berjalan jauh hanya untuk ke hospital,” katanya.

Sumber : myMetro 2/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails