Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Jumaat, April 02, 2010

YDP wanita: DAP 'malu sendiri' salah dedah fakta

KUALA LUMPUR 1 April - DAP mendapat 'malu sendiri' apabila mendabik dada mendakwa Kerajaan Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia melantik wanita sebagai Yang Dipertua (YDP) pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun Chong Eng (DAP - Bukit Mertajam) agak 'terkedu' apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin membetulkan fakta itu dengan menyatakan telah ada sebelum ini wanita yang dilantik mengetuai PBT.

Menurutnya, PBT berkenaan ialah Majlis Daerah Kota Marudu (Luvita Koisun), Majlis Perbandaran Sungai Petani (Rozaina Radzi), Majlis Daerah Kubang Pasu (Datuk Che Barni Mohd. Nor) dan Datuk Adeline Leong pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Sandakan selama empat tahun bermula 2000.

Eng yang tidak berpuas hati terus mempersoalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun selepas memerintah lebih 50 tahun, hanya mampu melantik beberapa wanita sahaja berbanding Pulau Pinang walaupun baru dua tahun memerintah tetapi memberikan peluang kepada golongan itu.

Katanya, ia jelas menunjukkan BN mengamalkan dasar diskriminasi gender berhubung pelantikan wanita bagi menerajui mana-mana jawatan penting.

Jelas Lajim, Kerajaan Pusat tidak pernah mengamalkan diskriminasi gender yang didakwa itu, malah sentiasa mengiktiraf kaum wanita untuk menduduki jawatan-jawatan utama.

Katanya, isu jantina tidak timbul dalam pelantikan YDP dan ahli majlis PBT kerana faktor utama yang diambil kira ialah soal kebolehan dan kemahiran tersebut.

"Untuk makluman, sejumlah 404 atau 12.6 peratus daripada 3,215 ahli majlis PBT seluruh negara bagi 2007 terdiri daripada wanita.

"Malah terdapat empat PBT mempunyai setiausaha wanita iaitu di Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Daerah Lubuk Antu dan Majlis Daerah Simunjan," katanya semasa menggulung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, pembangkang terus menyalahkan BN dalam segala masalah yang timbul di negeri yang diperintah mereka, dengan Azmin Ali (PKR - Gombak) mendakwa punca utama terbengkalainya lebih 140 projek perumahan di Selangor adalah kerana kerajaan sebelum ini.

Beliau juga mempersoalkan mengapa menteri tidak menggunakan kuasanya mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Akta 118) yang mempunyai kuasa penuh bagi melindungi hak pembeli yang teraniaya bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara.

Lajim menjawab : "Ia masih belum terbengkalai kerana terdapat tiga kategori yang perlu diambil kira iaitu projek sakit, lewat dan barulah terbengkalai.

"Kita tidak boleh salahkan sesiapa pun, ia adalah masalah pemaju kerana kerajaan hanya luluskan lesen dan tapak, soal pembinaan adalah tanggungjawab mereka. Kita BN selepas ini juga tidak akan salahkan kerajaan pakatan pembangkang bila perkara sama berlaku," katanya.

Tambah Lajim, mengenai kuasa menteri itu, ia masih tertakluk kepada beberapa persoalan undang-undang iaitu menteri perlu terlebih dahulu mendapat keizinan daripada mahkamah untuk mengambil alih mana-mana projek terbengkalai.

Sumber : Utusan Malaysia Online 2/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails