Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Khamis, April 01, 2010

KTMB cadang gerabak lelaki, wanita

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang untuk mewujudkan gerabak berasingan untuk penumpang lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpangnya.

Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan berkata, tinjauan yang dijalankan oleh KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita.
Katanya, jika kereta api komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Bagaimanapun sebelum melaksanakan cadangan tersebut, ia perlu diperincikan bagi mengelak sebarang isu lain yang akan timbul, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Customer Service Star Award 2009 dan program Ikhlas Dari Hati di sini semalam.

Aminuddin berkata, langkah pengasingan gerabak ini telahpun dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara lain di Eropah.

Sementara itu, beliau berkata, perkhidmatan komuter KTMB akan mendapat 38 set gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang baru dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatannya.

"KTMB juga akan membaiki 15 set EMU yang lama dan usaha ini diharapkan dapat mengatasi masalah kereta api lambat tiba serta isu perjalanan dibatalkan," katanya.
Penambahan gerabak itu adalah untuk menampung pertambahan penumpang komuter yang dijangka meningkat kepada 300,000 penumpang setiap hari, katanya.

Mengenai program Ikhlas Daripada Hati, ia merupakan program KTMB yang memberi penekanan kepada tiga nilai perkhidmatan cemerlang iaitu empati, mesra dan ikhlas (EMI) yang akan diamalkan oleh kakitangan KTMB bermula hari ini hingga 31 Mei ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan KTMB, katanya. - Bernama

Sumber : Kosmo Online 1/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails