Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Sabtu, April 03, 2010

Gurauan akhir Din Beramboi

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mior Azlan Mior Kamarulbaid
am@hmetro.com.my
2010/04/03



KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio terkenal, Din Beramboi sempat berpesan kepada beberapa ahli keluarganya dia mahu menghimpunkan semua anggota keluarga kerana merindui mereka kira-kira seminggu sebelum meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Seorang anak saudaranya yang enggan nama disiarkan berkata, Din Beramboi berpesan mahu menghimpunkan semua anggota keluarga kerana sudah lama tidak berjumpa.

“Saya bertemu arwah minggu lalu dan dia memberitahu tidak pernah melupakan anggota keluarga serta merindui kami, cuma masa tidak mengizinkan untuk berjumpa.

“Sebab itu dia mahu membuat perhimpunan besar-besaran untuk bertemu semua ahli keluarga, malah bergurau mahu membuat filem mengenai kampung asal kami iaitu Kota Bahru di Gopeng, Perak. Tidak sangka itu gurauan terakhir bapa saudara saya,” katanya yang ditemui semalam.

Bapa pelawak itu, Mior Badri Mior Idris, 70-an, berkata anaknya memang suka membuat lawak walaupun adakalanya kedengaran agak kasar.

“Mungkin sifat suka melawak itu datang daripada saya tetapi saya hanya membuat lawak cara orang kampung dan dia pula lebih hebat.

“Sama ada lawak yang dibuat arwah itu betul atau tidak, saya percaya ia boleh menjadi ubat untuk menggembirakan hati orang yang mempunyai masalah,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham sebelum ini memang ada menyatakan hasrat mahu menghimpunkan semua ahli keluarga kerana sudah lama tidak berjumpa.

Isteri Allahyarham, Suhaini Che Man, 42, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan serta memberi sokongan sepanjang suaminya mendapat rawatan di hospital.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak jika lawaknya sebelum ini agak kasar. Niatnya semata-mata mahu memeriahkan suasana supaya semua orang gembira,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Selayang, Dr Siti Zaleha Mohd Salleh yang dihubungi berkata Allahyarham meninggal dunia akibat ‘Dengue Shock Syndrome’ dengan komplikasi kegagalan beberapa organ utama.

“Jenazah dituntut ahli keluarga pada jam 2.30 pagi tadi (semalam) untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sumber : myMetro 3/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails