Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Sabtu, April 03, 2010

Undi 25 April

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2010/04/03

JENTERA pilihan raya BN bersedia memasang poster dan bendera di Bilik Gerakan Barisan Nasional Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu.


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 April ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata sekiranya ada pertandingan pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 25 April ini dengan tempoh berkempen selama lapan hari.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DIP) 2009 yang dikemas kini sehingga 26 Mac lalu mengandungi 64,500 pemilih berdaftar. Daripada jumlah itu, 63,701 adalah pemilih biasa manakala 799 lagi pengundi pos.

Berdasarkan DIP itu, 34,020 atau 52.7 peratus pengundi adalah Melayu; 16,964 atau 26.3 peratus (Cina); 12,453 atau 19.3 peratus (India) dan 1,063 atau 1,7 peratus kaum lain.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi apabila memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC mendapat 22,979 undi.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SPR di sini, semalam, Abdul Aziz berkata, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, manakala proses pengeluaran serta pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Hulu Selangor.
Sebanyak 48 pusat mengundi akan digunakan pada pilihan raya kecil itu membabitkan 47 sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 136 saluran mengundi.

SPR juga melantik 1,343 petugas untuk memastikan kelancaran pilihan raya kecil itu, manakala Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan dilantik sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya yang dibantu tujuh Penolong Pegawai Pengurus.

Mengenai perkara larangan yang bakal dikuatkuasakan, Abdul Aziz berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat selepas proses penamaan calon pada 17 April ini.

"SPR akan menubuhkan enam Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya mengikut Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi, katanya.

Beliau berkata, pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui pusat serta saluran mengundi menerusi laman web www.spr.gov.my atau sms ke talian 15888 mulai tarikh yang sama.

Pengundi berdaftar juga boleh menghubungi ibu pejabat SPR 03 88856500 atau pejabat pilihan raya negeri 03 55111805.

Sumber : Berita Harian Online 3/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails