Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Jumaat, April 02, 2010

Dr. Mahathir ulas kes Matthias hina mahkamah

KUALA LUMPUR 1 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, seseorang yang berasa terkilan tidak harus sekali-kali menjadi pendakwa dan juga hakim kerana mereka akan berat sebelah untuk menyebelahi diri sendiri.

Mengulas kes bekas setiausaha politiknya, Matthias Chang Wen Chieh yang dihantar ke Penjara Sivil Kajang setelah gagal membayar denda RM20,000 yang perlu dilunaskan dalam masa seminggu ekoran kesalahan menghina mahkamah, bekas Perdana Menteri itu berkata, mungkin perlu pihak ketiga dalam menentukan kes tersebut.

''Saya menulis dengan rasa kebimbangan kerana saya juga boleh didakwa kerana menghina mahkamah, tetapi saya berasa telah berlaku kegelinciran keadilan di sini, walaupun undang-undang mendukung proses tersebut," katanya dalam blog beliau di www.chedet.co.cc.

Matthias yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah ditahan oleh Timbalan Pegawai Penjaga Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Asisten Supritendan Zulkifi Osman selepas waran penahanan diserahkan kepadanya.

Pada 25 Mac lalu Matthias, 60, didenda RM20,000 yang perlu dijelaskan dalam masa seminggu atau penjara sebulan jika gagal menjelaskan jumlah tersebut.

Hakim Noor Azian Shaari mensabitkan Matthias atas kesalahan di bawah Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 iaitu pengkomitan kerana menghina mahkamah setelah dia enggan memohon maaf ketika prosiding kes samannya terhadap defendan pada tahun 2002 setelah mendakwa American Express melanggar kontrak dan memfitnahnya.

Dr. Mahathir memberitahu, sekiranya seseorang hakim merasakan mereka yang didakwa telah menghina mahkamah maka hakim tersebut perlu mendapatkan pihak ketiga dan seorang lagi hakim untuk menentukan sama ada telah berlaku perbuatan menghina mahkamah serta menentukan hukumannya.

''Matthias kini di dalam penjara, jenayahnya kalau boleh dipanggil jenayah ialah didakwa menghina mahkamah iaitu tidak menunjukkan rasa hormat sepatutnya kepada hakim.

''Ini kerana hakim merasakan orang yang didakwa tidak menghormatinya, maka hakim telah menghukum orang tersebut dengan memerintahkannya dikenakan denda atau dipenjara di mana Matthias enggan membayar denda kerana merasakan kalau membayarnya ia merupakan pengakuan bersalah," katanya.

Beliau berkata, apa yang dianggap perbuatan menghina mahkamah ialah pernyataan Matthias yang kurang yakin kepada hakim yang dilihat pada pandangannya berat sebelah.

Tambah beliau, Matthias menyatakan dia akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi mengenai sikap hakim terhadap beliau dan peguamnya.

Dr. Mahathir mempersoalkan adakah seseorang yang berasa terkilan terhadap layanan yang diterima tidak dibenarkan oleh hakim untuk menyatakan sesuatu dan berhajat untuk merayu di pihak berkuasa yang lebih tinggi.

Soal beliau, adakah seseorang yang terkilan tidak dibenarkan mendakwa hakim berat sebelah, sedangkan dalam kes baru-baru ini orang yang kena tuduh menuntut hakim menarik diri kerana berat sebelah.

''Malahan kita dengar orang yang kena tuduh menuntut pendakwa ditukar kerana didakwa berat sebelah, malahan orang tertentu yang diberi tanggungjawab itu juga tidak dibenarkan untuk melakukan kerja yang diberi kepadanya," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online 2/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails