Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Khamis, April 01, 2010

90 buah balai polis bergerak di 4 negeri

Hishammuddin Tun Hussein bersama timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop (dua dari kanan) melihat unit pertama daripada bas mini yang dijadikan balai polis bergerak di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Mac - Sebanyak 90 buah balai polis bergerak iaitu 60 buah jenis van dan 30 buah bas mini akan ditempatkan di kawasan panas yang dikenal pasti di empat buah negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap satu daripada van model Toyota Hiace yang dilengkapi dengan kemudahan balai polis itu bernilai RM151,000 sebuah, manakala bas pula RM343,000 sebuah.

Menurutnya, pembinaan dan pembekalan 90 balai polis bergerak itu dilaksanakan oleh syarikat Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech), iaitu anak syarikat Kumpulan DRB-Hicom Bhd.

"Penyerahan kumpulan pertama balai polis bergerak jenis van telah selesai pada 4 Mac lalu, sebanyak lapan daripadanya ditempatkan di kawasan panas di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang," katanya semasa melancarkan balai polis bergerak itu di pekarangan bangunan Parlimen hari ini.

Tambah Hishammuddin, balai polis bergerak jenis bas mini, iaitu unit pertama prototaip telah siap dan dibawa ke Kementerian Dalam Negeri untuk pemeriksaan dan penerimaan pada hari ini.

Beliau berkata, jadual penghantaran keseluruhan balai polis bergerak akan selesai pada Jun ini iaitu bas mini sebanyak tujuh buah pada April; lapan buah pada Mei dan 14 buah pada Jun.

Bagi balai polis jenis van pula, katanya, sebanyak lapan buah dihantar pada Februari; dua buah pada bulan ini; 20 buah pada Mei dan 30 buah pada Jun.

Sumber : Utusan Malaysia Online 1/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails