Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Selasa, April 13, 2010

Hati-hati guna laman web sosial

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
2010/04/12

KEHADIRAN laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan blog membawa pengaruh meluas di seluruh dunia. Tidak terkecuali, dalam konteks bidang hiburan membabitkan artis, peminat termasuk wartawan turut menggunakan medium ini sebagai alat komunikasi.

Namun, di sebalik kecanggihan teknologi ini ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab apabila menggunakannya dengan niat menjatuhkan maruah orang lain mahupun melemparkan ugutan.

Membincangkan perkara ini dengan mendalam, program Fenomena Seni yang bersiaran kelmarin menerusi TV1 jam 2 petang mengundang empat panel iaitu personaliti TV, Azwan Ali, pelakon Zed Zaidi, Zarina An-Julie dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil tampil berkongsi pandangan.

Tajuk perbincangan iaitu Bahana Alam Siber yang dikendalikan Rosyam Nor sebagai pengacara, bukan saja diperdebat menerusi pandangan peribadi malah, mengundang sikap artis yang mahu menyalahkan wartawan kerana dikatakan menyampaikan laporan yang salah.

Roslen berkata, laman web sosial termasuk blog membawa perkembangan positif dari aspek menggalak lebih ramai individu tampil menjadi penulis. Pun begitu, ia masih tidak menggugat penjualan akhbar yang mempunyai pembaca setia.

"Bukan wartawan kini boleh menulis di laman sosial dan blog. Apa yang ingin ditekankan, kita harus bertanggungjawab terhadap penulisan sendiri.

"Pada saya, peratusan artis yang sengaja menggunakan medium ini untuk tujuan publisiti adalah sedikit. Artis juga tidak seharusnya menyalahkan wartawan apabila cerita negatif mereka didedahkan.

"Artis perlu ingat, laman sosial mempunyai rantaian rakan yang membolehkan gambar peribadi mereka dilihat. Sebelum apa-apa berlaku, kita perlu tapis maklumat dan gambar yang ingin dimuat turun," katanya.

Roslen menegaskan wartawan sentiasa berhasrat membantu perkembangan industri hiburan tanah air agar terus maju menerusi berita yang dilaporkan. Namun, tidak mustahil berlaku salah faham antara artis dengan wartawan.

"Artis perlu tampil memberi penjelasan jika berita yang dilaporkan tidak benar. Sebaliknya, jika artis meluahkan kenyataan di laman web sosial hingga berkata mahu ugut bunuh, itu sudah keterlaluan.

"Apa yang berlaku ketika ini adalah fenomena baru dan kita harus belajar daripada pengalaman lalu dan kita perlu berhati-hati dalam menulis dan bercakap. Hakikatnya, wartawan akan terus melaporkan berita biarpun ia pahit untuk disimpan," katanya.

Sementara itu, Azwan yang pernah diboikot media gara-gara laman blog peribadinya yang mengundang kontroversi mengakui apa yang ditulis sebelum ini banyak memberi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan.

"Pada awal penulisan saya dulu, memang saya akui apa yang dinyatakan melampau dan lancang. Ketika itu, saya beranggapan tidak perlu takut pada sesiapa dan mahu menulis secara jujur.

"Namun, melihat perkembangan laman web sosial seperti Facebook dan Twitter, sebenarnya memberi tamparan kepada pengamal media yang konservatif. Jika sebelum ini artis kurang diberi peluang untuk menjawab kenyataan salah sebaliknya menerusi cara ini, artis tampil memberi penjelasan.

"Berdasarkan pengalaman lalu, ia memang memberi kesan kepada diri saya hingga rezeki terjejas. Kontroversi yang melanda adalah pengajaran terhebat yang saya terima.

"Apapun, laman web sosial masih mempunyai banyak kebaikan dan ia juga menjadi jambatan mendekatkan artis dengan peminat," katanya.

Zed Zaidi yang kini bergiat aktif dengan Persatuan Seniman Malaysia yang menjadi orang tengah majlis memohon maaf artis baru, Ammar kerana lancang membidas wartawan di laman sosial, berkata dia tidak kecam orang lain yang menyalah guna medium ini hingga sanggup mencipta laman web sosial artis. Baginya, usaha menghalang perkara negatif membabitkan artis boleh dilakukan menerusi menguat kuasa akta dan paling penting, artis tampil membuat laporan polis jika berasa terancam.

"Artis sepatutnya mendaftar dengan persatuan seperti Seniman untuk membantu mereka apabila berdepan masalah. Saya percaya persatuan sendiri dapat memberi kesedaran kepada artis agar bijak menggunakan laman web sosial seperti ini," katanya.

Pelakon baru yang sering dikaitkan dengan kontroversi gambar seksi, Zarina menyatakan gambar peribadi yang diletakkan dalam laman web sosialnya hanya bertujuan untuk dikongsi bersama anggota keluarga dan rakan. Namun, pelakon drama siri Anak Pontianak ini akui ada rakan yang menyebarkan gambar itu yang diambil menerusi telefon bimbit.

"Saya sudah mempunyai Facebook dan Friendster sebelum jadi artis. Namun, apabila jadi artis saya membuang gambar yang tidak sepatutnya disimpan.

"Selepas kontroversi, ada pengarah yang serba salah ingin ambil saya berlakon, tetapi apabila mereka menyemak perkara sebenar, saya masih diterima berlakon. Seperti kes saya yang dikatakan ditahan kerana mempunyai dadah hingga masuk lokap dan dijamin RM5,000 adalah tidak benar.

"Ketika itu, saya cuma disiasat penyiasat dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan selepas itu saya balik ke rumah. Bagaimanapun, menerusi kontroversi yang saya lalui ia memberikan pengajaran agar lebih berhati-hati," katanya.

Sumber : myMetro 13/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails