Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Jumaat, April 02, 2010

Zambry beri amaran kepada pembangkang

2010/04/02

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memberi amaran kepada pakatan pembangkang terutama Ahli Parlimennya supaya tidak mencabarnya secara berlebihan dengan pelbagai dakwaan melampau mengatakannya "penipu besar" apabila mendedahkan menerima tawaran jawatan itu sekiranya melompat parti.

Beliau berkata, banyak lagi keburukan mengenai pembangkang yang boleh didedahkan sekiranya mereka khususnya Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berterusan mencabarnya dengan pelbagai dakwaan berlebihan.

"Beritahu Ngeh supaya diam dan jangan cabar saya berlebihan. Tanyalah 'bos' dia sendiri yang mengatakan tidak menelefon saya dan keesokan hari pula kata ada menelefon saya, itu sudah cukup membuktikan siapa yang bercakap benar dan siapa yang bercakap bohong...jangan nanti saya memanggil dia (Anwar) sebagai 'bankrupt politician' pula kerana mengaku tidak pernah menelefon saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ngeh bahawa tawaran jawatan itu adalah pembohongan serta pengakuan Anwar di Dewan Rakyat semalam bahawa memang wujud pelawaan untuk Zambry menyertai PKR selepas pilihan raya umum ke-12.

Katanya, dengan pengakuan Anwar semalam, ia jelas membuktikan siapa sebenarnya "pembohong besar" dan sering berdolak-dalik melakukan pembohongan.

Ketika ditanya mengenai pelawaan itu bukan bagi jawatan Menteri Besar, Zambry mendakwa "pemimpin besar" berkenaan tidak akan menghubunginya tanpa ada "apa-apa" ganjaran sekiranya benar-benar mahu beliau melompat parti.

Katanya, beliau yakin rakyat akan menghakimi segala tindakan politik melampau pembangkang.
Pada Rabu lalu ketika sesi penggulungan di sidang Dewan Undangan Negeri, Zambry mendedahkan calon pertama bagi jawatan Menteri Besar Perak oleh pembangkang selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 sebenarnya adalah dirinya dan bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Katanya, tawaran itu dibuat pemimpin pakatan pembangkang yang menelefonnya dengan rombongan dan utusan yang datang ke rumah beliau.

Sebelum itu, ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah perasmian oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) berkata tiga Adun Umno ditawar jawatan Menteri Besar sekiranya melompat parti.

Bagaimanapun, pada hari yang sama Anwar menafikan ada mempelawa Zambry untuk jawatan itu sekiranya melompat parti. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online 2/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails