Tengok Tengok's Fan Box

Tengok Tengok on Facebook

Selasa, April 06, 2010

Pemilik kapal bocor di Great Barrier Reef boleh disaman A$1j

PENCEMARAN SERIUS: Tumpahan minyak dari kapal yang berdaftar di China ini bakal menjejas teruk kehidupan laut dan terumbu di Great Barrier Reef. -- Foto REUTERS


6 Apr 2010

SYDNEY: Pemilik kapal kargo arang batu yang menyebabkan kebocoran minyak di sekitar Great Barrier Reef, boleh disaman sehingga A$1 juta.

Semalam, kapal Shen Neng I berukuran 230 meter yang membawa sebanyak 950 tan minyak dikhuatiri pecah dan menyebabkan tumpahan minyak itu menjadi lebih teruk.

Great Barrier Reef merupakan antara daya tarikan utama pelancong ke Australia dan amat mudah mengalami kemusnahan sekiranya berlaku pencemaran.

Kapal yang berdaftar di China itu dilaporkan merempuh terumbu Douglas Shoal pada Sabtu lalu dan telah tersasar 15 kilometer dari laluan biasa bagi kapal.

Perdana Menteri Queensland, Cik Anna Bligh, berkata tindakan tegas harus diambil ke atas syarikat kapal itu kerana melanggar undang-undang dengan memasuki kawasan Great Barrier Reef.

'Kawasan ini merupakan salah satu sekitaran marin yang paling berharga di dunia dan terdapat laluan khusus yang selamat dan dibenarkan oleh kapal dan di situlah kapal itu sepatutnya berada.'

Kapten kapal itu juga boleh disaman A$250,000.

Kapal yang dalam perjalanan ke China itu dimiliki oleh syarikat The Shenzhen Energy Group, yang merupakan anak syarikat Cosco Group.

Siasatan kini sedang dijalankan oleh Penguasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia ke atas syarikat itu bagi mengetahui mengapa kapal itu tersasar dari laluan kapal.

Jurucakap Keselamatan Maritim Queensland, Encik Patrick Quirk, berkata kapal itu masih bergerak di atas terumbu dan lantas bakal menyebabkan tumpahan minyak sepanjang tiga kilometer itu menjadi lebih buruk.

Bahan kimia penyerap minyak telah pun disemburkan pada tumpahan minyak itu.

Pihak berkuasa berkata ekoran perlanggaran yang berlaku enjin utama dan kemudi kapal itu rosak.

Cik Bligh berkata usaha menarik kapal itu ke darat merupakan satu operasi yang rumit.

'Jika kapal ini pecah, dan jika berlaku tumpahan lebih besar, kita bukan hanya akan melihat minyak itu melimpah ke Taman Marin Great Barrier Reef malah sehingga ke pantai-pantai Shoalwater Bay, yang merupakan kawasan taman negara,' kata beliau. -- Reuters, AFP.

Sumber : Cyberita Online 6/4/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails